IPOH - UMNO Perak mengingatkan Pas khususnya Ketua Penerangan parti pembangkang itu, Ahmad Fadhli Shaari supaya menjaga bahasa dan kaedah komunikasi sekiranya benar-benar mahu meneruskan usaha membina persefahaman politik antara kedua-dua parti.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, proses bermuafakat perlu dilakukan dengan mengetepikan kepentingan masing-masing selain bersedia menerima kelebihan dan kelemahan rakan.
Menurutnya, rundingan juga tidak seharusnya disertai ugutan atau syarat tertentu kerana pendekatan sedemikian tidak membantu menyelesaikan sebarang masalah.
"Jadi kepada saya, Ketua Penerangan Pas ini tak boleh jadi jawatankuasa perunding. Tak boleh jadi rundingan kalau itu bahasa dia. UMNO, kita lantik jawatankuasa runding orang yang baik hati, baik mulut, baik akhlak dan tidak akan celupar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dibuat Ahmad Fadhli pada 16 September lalu ketika melancarkan Jentera Pilihanraya Pas Dewan Undangan Negeri DUN Temengor di Markaz Pas Bandariang Gerik yang dilaporkan memberi peringatan kepada UMNO supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan penyatuan susulan pemilihan Ahli Dewan Negara Perak baru-baru ini.
Dalam ucapan tersebut, Ahmad Fadhli mempersoalkan keseriusan UMNO Perak yang didakwanya tidak menghayati arahan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berhubung kerjasama kedua-dua parti ini.
Sementara itu, Saarani menegaskan keputusan pemilihan Ahli Dewan Negara yang berlangsung pada Khamis lalu tidak mempunyai kaitan dengan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU selepas itu.
Katanya, pemilihan tersebut berlangsung sehari sebelum ucapan Ahmad Zahid dan beliau turut menegaskan istilah yang digunakan dalam ucapan berkenaan perlu difahami dengan tepat.
"Datuk Seri Zahid berucap hari Jumaat. Apa kena mengena ucapan Datuk Seri Zahid dengan pengundian? Pengundian itu hari Khamis. Datuk Seri Zahid berucap hari Jumaat, tak ada kena mengena.
"Dan jangan lupa bahawa Datuk Seri Zahid tidak sebut tentang gabungan, never. Datuk Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO) pun dalam penggulungan tak sebut tentang gabungan, hanya persefahaman," katanya.
Saarani turut mengingatkan semua pihak supaya memahami konsep persefahaman terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai bentuk kerjasama politik.
Dalam perkembangan lain, UMNO Perak tiada perancangan untuk membuat kutipan khusus di peringkat negeri bagi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan bagi membantu membayar denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, semua kutipan disalurkan terus kepada UMNO Pusat melalui sumbangan yang telah dilancarkan.