IKHLAS.COM memperkenalkan Zakat Advantage Programme (ZAP), sebuah inisiatif kerjasama korporat yang menawarkan pelbagai nilai tambah kepada syarikat menerusi pembayaran zakat, termasuk ganjaran korporat, kebajikan pekerja, jaringan perniagaan dan pelaporan zakat secara telus.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, program itu bertujuan memperluas pendekatan zakat korporat dengan membina komuniti pembayar zakat yang lebih besar selain membuka peluang kerjasama perniagaan dalam kalangan syarikat yang menyertainya.
Menurut beliau, ZAP bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembayaran zakat sebaliknya turut menawarkan pelbagai manfaat kepada organisasi menerusi inisiatif yang disediakan.
“Kami ingin membina komuniti pembayar zakat korporat yang lebih besar dengan menawarkan nilai tambah kepada syarikat melalui kebajikan pekerja, ganjaran korporat, jaringan perniagaan dan peluang kerjasama.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan zakat lebih bermakna kepada perniagaan, di samping memastikan setiap sumbangan memberikan impak positif kepada masyarakat,” katanya pada majlis Scale & Impact Summit 2026 yang berlangsung di Atrium, RedQ, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) pada Selasa.
Sidang kemuncak itu turut menampilkan forum bertajuk Empowering the Generation; Building a Stronger Economy yang menampilkan Ikhlas dan Pengasas Keedsflix International Sdn Bhd, Azri Jemani.
Sesi berkenaan membincangkan peranan keusahawanan, kepimpinan dan pemerkasaan ekonomi dalam membuka peluang kepada generasi akan datang serta membina ekonomi lebih kukuh.
Scale & Impact Summit 2026 turut menandakan fasa seterusnya inisiatif zakat ikhlas.com sekali gus meneruskan kesinambungan Zakat Fest sebelum ini dalam usaha mengeratkan hubungan antara usahawan Muslim, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemimpin korporat.
Jelas Ikhlas, syarikat yang menyertai ZAP boleh memanfaatkan beberapa inisiatif termasuk Staff Waqalah Programme yang membantu organisasi menyalurkan bantuan zakat kepada pekerja berpendapatan rendah yang layak.
Selain itu, Company Rewards menawarkan ganjaran tahunan berbentuk pakej umrah, perjalanan dan gaya hidup kepada organisasi sebagai nilai tambah atas penglibatan mereka dalam pembayaran zakat korporat.
Syarikat turut menerima laporan menerusi Barakah Series Reporting yang disampaikan melalui e-mel dan media sosial bagi mengetengahkan sumbangan zakat serta usaha tanggungjawab sosial korporat masing-masing.
Inisiatif itu membolehkan organisasi berkongsi penglibatan mereka dalam pembangunan masyarakat, di samping meningkatkan ketelusan berhubung sumbangan zakat yang disalurkan.
ZAP turut menyediakan peluang jaringan perniagaan menerusi penganjuran acara, sesi perkongsian ilmu dan jemputan eksklusif termasuk VIP Tea Talk bersama tokoh ilmuwan Islam serta individu berpengaruh dalam dunia perniagaan.
Syarikat yang menyertai program berkenaan turut berpeluang menghadiri Private Summit 2027 yang akan datang.
Menerusi platform itu, PKS berpeluang turut berinteraksi dengan pemimpin korporat berpengalaman, berkongsi pengetahuan perniagaan, membina hubungan strategik serta meneroka potensi kerjasama.
“Aspirasi ZAP adalah untuk menarik lebih banyak syarikat korporat menyertai program ini selain membina komuniti yang membolehkan mereka saling berinteraksi dan mewujudkan lebih banyak nilai tambah antara satu sama lain,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, ikhlas.com platform digital Islam di bawah Capital A yang menawarkan penyelesaian umrah dan perjalanan mesra Muslim, merekodkan kutipan zakat kira-kira RM44.36 juta pada 2026 dengan penyertaan 63 syarikat berbanding 42 syarikat pada 2025.
Peningkatan itu mencerminkan pertambahan penyertaan syarikat dalam pembayaran zakat korporat menerusi platform berkenaan.