KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tiba di ibu pejabat parti itu di Pudu di sini kira-kira jam 2.50 petang tadi.
Beliau tiba untuk mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dijadualkan membincangkan pendirian parti berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Pengangkutan itu tiba ketika petugas media sudah berkumpul di hadapan pintu masuk pejabat berkenaan sejak kira-kira jam 2.30 petang.
Turut kelihatan di ibu pejabat berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Hannah dan Kor Ming dilaporkan tiba kira-kira 10 minit selepas Anthony.
Pada Jumaat, Anthony memaklumkan CEC DAP akan bermesyuarat bagi membincangkan serta memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Keputusan itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.