HANG TUAH JAYA - Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dapat membina semula kekuatan politik dan perpaduan selain mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perpaduan itu juga menjadi asas untuk menolak Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP.
"Perpaduan sangat penting. Dengan perpaduan kita dapat membina kekuatan, yang lemah menjadi kuat. Kita mesti bersatu, jangan orang Islam berpecah sehingga orang lain mendapat faedah.
"Sebab itu kita buat perpaduan antara BN dan PN. Kita bergabung untuk mengalahkan PH," katanya ketika berucap di Pentas Grand Finale PRN Melaka BN dan PN, Dewan Muallim Abdul Wahid, Bukit Katil pada Khamis.
Abdul Hadi menggesa penyokong Pas memberi sokongan kepada calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, pendekatan sama perlu dilaksanakan oleh penyokong BN di kawasan yang ditandingi PN sebagai tanda komitmen terhadap kerjasama politik tersebut.
"Saya minta penyokong Pas undi BN di kawasan PN tidak bertanding, undi MCA dan Gerakan. Orang Melayu, orang Cina, begitu juga di tempat kita bertanding.
"Tujuannya untuk menyelamatkan negara dengan perpaduan," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa keharmonian antara kaum perlu terus dipelihara bagi memastikan masyarakat dapat hidup aman seperti yang dinikmati sejak beberapa dekad selepas kemerdekaan.
"Kita kena bersatu atas nama kemanusiaan. Orang Melayu dan bukan Islam hidup bersama dalam masyarakat.
"Kita mahu duduk dalam keadaan aman. Buangkan idea penjajah dan selamatkan negara ini. Tunaikan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi pada Sabtu ini," ujarnya.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kerjasama politik di Melaka disifatkan lebih mantap berbanding di Negeri Sembilan dan Johor dalam usaha membentuk perpaduan ummah.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan diyakini dapat terus diperkukuh sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Melayu Islam memimpin dengan adil untuk semua kerana orang Melayu mendominasi penduduk, tetapi wajib adil untuk semua.
"Ini yang kita nak tunaikan. Pemantapan di Melaka ini lebih meningkat sehingga PRU," katanya.