Solat bukan sekadar penguasaan teori tapi penjiwaan amalan

Iklan
Solat berjemaah mengajar disiplin ketat seperti patuh kepada arahan ketua (imam), meluruskan saf dan menepati masa yang merupakan asas penting dalam kemahiran mengurus masa dalam kehidupan. Gambar kecil: Dr Adibah

KEHIDUPAN masyarakat era moden hari ini tidak lagi terpisah daripada peranti digital mahupun kepesatan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Laporan Survei ICT daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan bahawa 97.1 peratus isi rumah di negara ini mempunyai akses kepada capaian internet.

Iklan
Iklan

Keadaan ini selari dengan statistik DataReportal yang mencatatkan bahawa sehingga Oktober 2025, jumlah pengguna aktif media sosial di Malaysia mencecah 30.7 juta orang, iaitu merangkumi 85 peratus daripada keseluruhan populasi.

Kenyataan daripada mantan Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, turut menjelaskan bahawa 99.7 peratus pengguna internet sangat aktif memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Iklan

Angka ini membuktikan bahawa masyarakat kita sentiasa terhubung rapat di alam maya. Walau bagaimanapun, di sebalik keasyikan melayari peranti digital, ada dalam kalangan kita yang mungkin terlepas pandang satu 'talian perhubungan' paling utama yang wajib dilaksanakan lima kali sehari, iaitu ibadah solat.

Bukan sebab tak tahu tapi kurang amalan

Iklan

Cabaran utama yang dihadapi oleh masyarakat, khususnya golongan muda, bukanlah berpunca daripada kekurangan ilmu atau kejahilan mengenai tatacara solat.

Sebaliknya, kekangan sebenar berakar daripada jurang ketara antara kefahaman teori dengan ketekalan amalan harian.

Dari sudut kognitif, penguasaan ilmu solat mereka berada pada tahap yang amat membanggakan. Namun, dari segi pelaksanaan, komitmen yang ditunjukkan masih lemah.

Hal ini mencetuskan persoalan, “mengapa kita berupaya memperuntukkan masa berjam-jam di media sosial tetapi culas untuk meluangkan beberapa minit untuk bersujud di atas sejadah?”

Dapatan kajian oleh penyelidik Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mendedahkan realiti yang membimbangkan berhubung amalan solat dalam kalangan generasi muda.

Hasil penyelidikan mencatatkan bahawa majoriti pelajar berupaya meraih keputusan cemerlang atau ‘markah A’ apabila diuji dari sudut pengetahuan teori ibadah.

Hal ini membuktikan bahawa secara umumnya, mereka amat memahami rukun, syarat dan kewajipan pelaksanaan solat.

Namun begitu, apabila dinilai dari segi amalan harian, ‘markah’ itu jatuh mendadak ibarat hanya lulus cukup-cukup makan sahaja, terutamanya dalam pelaksanaan solat Subuh.

Situasi ini mencerminkan bahawa solat lazimnya hanya dianggap sebagai satu mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan dan bukan dipraktikkan mahupun dihayati sebagai gaya hidup Muslim.

Apabila asas agama ini lemah, panduan kawalan diri mereka menjadi lemah yang menjadi punca masalah keruntuhan moral dan peningkatan krisis akhlak dalam kalangan generasi muda.

Apabila AI tidak mampu memberi ketenangan jiwa

Kita perlu sedar bahawa sehebat mana pun Kecerdasan Buatan (AI) mempermudah urusan seharian, teknologi ini tetap mempunyai keterbatasannya.

AI berkeupayaan memproses jutaan data dalam sekelip mata namun ia tidak sekali-kali mampu membina kecerdasan spiritual mahupun memberi ketenangan hakiki kepada hati yang gelisah.

Kajian mendapati bahawa kecerdasan spiritual dalam Islam berpunca daripada kebersihan hati dan ketenangan jiwa.

Hati yang sejahtera inilah yang membentuk kematangan emosi serta sahsiah diri seseorang agar sentiasa berdisiplin, jujur dan bertanggungjawab.

Malah dari perspektif sains, solat merupakan bentuk terapi minda yang amat berkesan.

Kajian saintifik membuktikan bahawa pergerakan solat yang dilaksanakan secara tenang, khususnya ketika sujud dan tama’ninah, mampu meningkatkan gelombang ketenangan otak.

Amalan ini bukan sahaja menstabilkan emosi tetapi juga menyokong kesihatan fizikal secara menyeluruh.

Apabila jiwa tenang, seseorang pasti boleh membuat keputusan waras dan menonjolkan kecerdasan emosi yang cemerlang.

Malah, solat berjemaah mengajar disiplin ketat seperti patuh kepada arahan ketua (imam), meluruskan saf dan menepati masa yang merupakan asas penting dalam kemahiran mengurus masa dalam kehidupan.

Mengembalikan peranan institusi kekeluargaan dan masyarakat

Penyelesaian terhadap krisis amalan ibadah ini tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada pihak sekolah atau institusi pendidikan semata-mata.

Kita juga tidak boleh bersikap naif dengan mengharapkan kecanggihan teknologi digital mahupun aplikasi pintar untuk merawat kelesuan jiwa serta membina kecerdasan spiritual masyarakat, khususnya generasi muda.

Sebaliknya, langkah penyelesaian yang paling ampuh dan berterusan mesti bermula dari teras utama institusi kekeluargaan, iaitu dari rumah.

Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan sebagai uswah hasanah, iaitu contoh teladan terbaik dalam kehidupan seharian anak-anak.

Bimbingan tidak sekadar diberikan menerusi teguran lisan bahkan perlu dizahirkan melalui tindakan dengan membudayakan amalan solat berjemaah di rumah.

Suasana ini bukan sahaja mengeratkan kasih sayang sesama keluarga tetapi turut menyemai rasa cinta dan penghayatan yang mendalam terhadap ibadah sejak kecil.

Di luar rumah, penglibatan masyarakat dan pihak berkuasa amat penting dalam memastikan kemudahan fizikal di surau kawasan awam, masjid serta institusi pendidikan sentiasa selesa dan mesra pengguna.

Ini termasuklah penyediaan prasarana yang inklusif seperti laluan yang mesra akses dan ruang wuduk khas bagi memberi keselesaan serta kemudahan kepada orang kurang upaya (OKU) untuk turut serta memakmurkan rumah ALLAH.

Kesimpulan

Ibadah solat memainkan peranan yang sangat penting dalam membina kecerdasan emosi, ketenteraman fikiran, serta kematangan sahsiah seseorang.

Oleh itu, amalan menunaikan solat secara konsisten dan berterusan tidak dapat dipisahkan daripada usaha membentuk kesejahteraan jiwa serta peribadi yang unggul.

Bayangkan kita menanam sepohon pokok bunga raya di dalam pasu canggih berserta peranti penyiram automatik.

Namun, jika kita tidak pernah memasukkan baja dan air bersih ke dalam akarnya, pokok itu tetap akan layu. Solat lima waktu itulah 'baja dan air' yang menyiram akar kecerdasan jiwa kita setiap hari.

Justeru, sudah sampai masanya untuk kita tidak hanya terpesona dengan kepesatan media sosial dan Kecerdasan Buatan (AI). Sebaliknya, kita perlu kembali mengukuhkan kecerdasan spiritual diri.

Pencapaian akademik dan kecanggihan teknologi mungkin berupaya membantu kita menguasai aspek duniawi tetapi ketenangan jiwa dan emosi serta disiplin kepimpinan yang sebenar bermula daripada daripada latihan solat.

*Dr Adibah Sulaiman @ Mohamad ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)