HANG TUAH JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Jason Tze Xi Nathan menawarkan kaunter bergerak 'Jumpa Jason' bagi memudahkan urusan rakyat.
Pemuda berusia 31 tahun itu berkata, inisiatif itu merupakan tiga janji dalam manifesto peribadinya dalam melancarkan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan itu.
"Itu janji saya turun padang setiap minggu kerana tekad saya mahu menjadi wakil rakyat yang duduk bersama rakyat di lapangan bukan duduk di pejabat," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Selasa.
Bagi tawaran kedua, Jason berjanji akan memberi tumpuan kepada kemudahan awam menerusi konsep jalan elok, lampu terang dan taman selamat.
Beliau yang juga peguam berkata, DUN Pengkalan Batu mempunyai banyak kawasan perumahan yang memerlukan pelan penyelenggaraan serta naik taraf secara terancang, termasuk kemudahan mesra warga emas dan golongan rentan.
"Hasil turun padang mendapati sebuah pangsapuri yang majoritinya didiami warga emas tidak diselenggara dengan baik dan berisiko menyebabkan mereka terjatuh.
"Sekiranya dipilih, saya mahu menyediakan pelan tindakan bagi mengenal pasti masalah serta memastikan penyelesaian dilaksanakan.
"Sebagai wakil rakyat, saya perlu bertanggungjawab kepada penduduk dan memastikan setiap isu ditangani sebaik mungkin," katanya lagi.
Sementara itu, Jason berkata, tawaran ketiga ialah mewujudkan dana komuniti bagi membantu persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata, dana itu dicadangkan bagi menyokong program berskala kecil seperti futsal, senamrobik dan aktiviti kemasyarakatan yang mampu mengeratkan hubungan penduduk pelbagai peringkat umur.
"Saya mahu mendapatkan sokongan kementerian dan sektor swasta untuk mewujudkan dana itu, dengan peruntukan sehingga RM3,000 bagi setiap program berdasarkan aktiviti yang dianjurkan.
"Kita tidak mahu hanya acara besar, sebaliknya aktiviti kecil di peringkat komuniti juga perlu diberikan sokongan," katanya.
Jelas beliau lagi, Melaka mempunyai potensi besar untuk menarik golongan muda, terutama dengan kos sara hidup yang lebih rendah, namun keadaan itu perlu diseimbangkan dengan penawaran gaji yang setimpal.
DUN Pengkalan Batu menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Siti Aisyah Mahmood dari Barisan Nasional (BN), Goh Han Koon dari Parti Bersama Malaysia (Bersama), Jason (PH) dan Norhizam (Bersatu).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 November.