Kertas siasatan KLVC libat dua bekas pegawai kanan Felda dirujuk kepada AGC minggu depan - SPRM

Iklan
Abd Halim (kiri) mendengar taklimat penggunaan senjata semasa Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang pada Sabtu.

KAJANG - Kertas siasatan membabitkan dua individu iaitu bekas Pengarah Besar Felda dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) berhubung penyelewengan pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dijangka dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kedua-dua mereka sebelum ini ditahan pada 6 September lalu sebelum direman antara lima hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan terhadap projek berkenaan telah selesai dan pihaknya akan mengemukakan cadangan pertuduhan terhadap kedua-dua individu terbabit.

"Kami telah menyelesaikan penyiasatan terhadap projek KLVC dan kami akan memperakukan pertuduhan terhadap kedua-dua individu terbabit," katanya kepada pemberita pada Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang di sini, Sabtu.

Iklan

Abd Halim berkata, SPRM akan mendapatkan keizinan daripada AGC berhubung tindakan lanjut termasuk aspek pendakwaan.

Katanya, pihaknya dijangka bertemu dan membentangkan kertas siasatan kepada AGC pada minggu depan.

Iklan

"Seandainya mendapat keizinan AGC, maka minggu selepas daripada itu akan dituduh.

"Tapi ingin difahami di sini iaitu pihak SPRM hanya mencadangkan sahaja hasil penyiasatan, tetapi sama ada untuk menuduh atau pun sebaliknya adalah kuasa Peguam Negara," katanya.

Beliau berkata, seramai 30 saksi telah dirakam keterangan sepanjang siasatan berkaitan projek KLVC.

Menurutnya, saksi yang dipanggil terdiri daripada ahli lembaga pengarah, pihak pengurusan Felda dan FIC, penasihat undang-undang, jurunilai, firma guaman serta pihak berkaitan lain.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pasukan penyiasat SPRM masih menjalankan tindakan mengumpul dokumen berkaitan, termasuk dokumen yang berada di luar negara.

Beliau berharap semua pihak memberikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas, adil serta profesional berlandaskan Rules of Law.

"Ini penting kerana terdapat proses yang memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk dari luar negara yang semestinya akan mengambil masa untuk kami mendapatkan maklum balas yang dikehendaki.

"Namun cabaran tersebut tidak sesekali melemahkan semangat dan komitmen kami bagi mencari jawapan serta kebenaran demi kepentingan negara," ujarnya.