PARAIBA – Seorang suspek pembunuh bersiri yang cuba meloloskan diri dengan menyamar sebagai wanita ditahan di timur laut Brazil sebelum dilaporkan mengaku telah membunuh kira-kira 80 orang sepanjang hidupnya.
Jorlan Alves da Silva, 33, ditahan di perbandaran Mulungu, Paraiba pada Ahad selepas operasi polis selama 48 jam.
Ketika ditahan, suspek memakai gaun berjalur, rambut palsu hitam panjang, cermin mata gelap dan sandal wanita selain kukunya dicat.
Lebih mengejutkan, dia turut dilaporkan mendukung seorang kanak-kanak berusia dua tahun ketika ditahan, namun polis masih menyiasat bagaimana kanak-kanak itu boleh bersamanya.
Sebelum penahanan, pasukan keselamatan mengesan sebuah kenderaan yang digunakan Jorlan bersama beberapa individu yang dipercayai rakan subahatnya.
Seorang individu ditahan dalam kenderaan itu, namun Jorlan berjaya melarikan diri sebelum dijejaki semula pihak berkuasa.
Menurut polis, Jorlan disyaki melakukan sekurang-kurangnya 15 pembunuhan bagi kumpulan jenayah terancang dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.
Ketika disoal siasat, dia dilaporkan mendakwa telah membunuh kira-kira 80 individu sepanjang hidupnya, termasuk melakukan pembunuhan pertama ketika berusia 13 tahun.
Detektif Polis Awam, Douglas Garcia berkata, suspek pernah menjalani hukuman penjara antara lima hingga enam tahun atas pelbagai kesalahan sebelum dibebaskan pada penghujung Mei lalu.
Antara kes yang sedang disiasat ialah pembunuhan dua ahli perniagaan di Rio Tinto pada 1 Ogos.
Menurut Douglas, suspek turut memberikan petunjuk kepada pihak berkuasa mengenai lokasi salah satu mayat mangsa ditanam.
Bagaimanapun, polis masih menyiasat kesahihan pengakuan Jorlan bahawa dia bertanggungjawab terhadap kira-kira 80 pembunuhan.
Sekiranya dakwaan itu dapat dibuktikan, jumlah berkenaan akan meletakkannya antara pembunuh bersiri paling prolifik dalam sejarah Brazil. – Agensi