GENTING GAZA - Penduduk Palestin di Genting Gaza terpaksa mencari pelbagai ikhtiar sendiri untuk membina semula kehidupan selepas kediaman mereka musnah akibat serangan ganas Israel.
Mereka menggunakan apa sahaja material yang ada seperti batu bata lumpur, kayu terpakai, kepingan kain dan plastik sebagai bahan binaan.
Di seluruh kawasan kejiranan yang binasa akibat kempen pengeboman selama lebih dua tahun lalu, beberapa keluarga menyusun batu bata buatan sendiri di atas serpihan konkrit selain membina dinding serba ringkas di atas lantai yang rosak akibat dihujani tembakan.
Struktur asas itu bagaimanapun hanya memberikan perlindungan minimum daripada cuaca panas, hujan dan kesejukan. Namun, itulah satu-satunya pilihan yang ada berbanding tidur di dalam khemah yang sesak atau di kawasan terbuka.
Lebih 90 peratus wilayah itu musnah akibat operasi ketenteraan rejim Zionis yang dilancarkan sejak Oktober 2023, menyebabkan kira-kira dua juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan terputus akses kepada infrastruktur asas.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin dan Pejabat Media Kerajaan Gaza menganggarkan kira-kira 223,000 tan bahan letupan telah digugurkan Israel di wilayah itu hingga menghasilkan sekitar 68 juta tan runtuhan konkrit. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hanya 310,000 tan runtuhan atau kurang 0.5 peratus berjaya dialihkan setakat ini.
Dengan kadar pembersihan semasa, sisa runtuhan di Gaza dijangka mengambil masa lebih satu abad untuk dialihkan sepenuhnya yang mencerminkan skala besar cabaran perlu dihadapi dalam proses pembinaan semula wilayah itu.
Ketika usaha membangunkan semula Gaza masih belum menunjukkan perkembangan yang jelas, kerajaan teknokratik yang ditugaskan menggantikan Hamas bertindak merangka 71 projek pemulihan enklaf tersebut.
Bagaimanapun, hampir kesemua rancangan itu memerlukan kerjasama daripada Israel yang berulang kali cuba menggagalkan pelan pembinaan semula tersebut.
'Program Pemulihan Gaza Enam Bulan' yang disediakan oleh Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) itu dimuktamadkan ketika mesyuarat di London pada akhir Ogos. Keseluruhan projek itu memerlukan dana kira-kira AS$6 bilion (RM24.6 bilion).
Walaupun Amerika Syarikat (AS) berjaya mendapatkan sumbangan berjumlah AS$17 bilion (RM70 bilion) pada Februari lalu, hanya sebahagian kecil dana itu telah disalurkan manakala beberapa negara Teluk yang sebelum ini menjanjikan bantuan kewangan kemudiannya mengubah keutamaan susulan tercetusnya Perang Iran.
Difahamkan, belum ada tarikh ditetapkan untuk memulakan projek itu kerana kebanyakannya bergantung kepada operasi NCAG di Gaza.
Pentadbiran baharu pimpinan Ali Sha’ath itu masih berpusat di Mesir sejak ditubuhkan pada Januari lalu. Keadaan itu berlaku kerana ‘Lembaga Keamanan’ yang dicadangkan Presiden Donald Trump memerlukan masa untuk memujuk Hamas menerima pelan pelucutan senjata bagi membuka laluan kepada NCAG mengambil alih pentadbiran Gaza. - Agensi