Luka diabetes berbeza luka biasa, rawatan awal elak amputasi

Iklan
Dr Raymond ketika merawat luka kaki pesakit

SHAH ALAM - Luka kecil pada kaki mungkin kelihatan tidak membimbangkan, namun bagi pesakit diabetes, keadaan itu boleh menjadi serius sekiranya tidak dikesan dan dirawat lebih awal.

Pengarah Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam, Dr Raymond Rony Pav berkata, antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk luka, lepuh, bengkak, perubahan warna kulit, keluar cecair atau nanah dan peningkatan suhu pada bahagian kaki.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengurusan luka kaki diabetes memerlukan pemeriksaan menyeluruh kerana setiap pesakit mempunyai keadaan kesihatan dan tahap komplikasi yang berbeza.

“Rawatan bukan sekadar membersihkan luka. Kita perlu mengenal pasti punca luka sukar sembuh, mengawal jangkitan jika ada dan memastikan paras gula dalam darah turut diberi perhatian.

Iklan

“Bagi kes tertentu, tisu yang telah mati mungkin perlu dibuang melalui prosedur debridement. Pesakit juga mungkin memerlukan penilaian pakar lain, bergantung pada keadaan klinikal masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Reshma Prakash (kiri) dan Dr Raymond Rony Pav

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Raymond berkata amputasi bukan sesuatu yang boleh dielakkan dalam semua keadaan kerana keputusan berkenaan bergantung pada tahap jangkitan, kerosakan tisu, bekalan darah serta keselamatan pesakit.

Menurutnya, usaha memelihara anggota badan boleh dipertimbangkan sekiranya keadaan pesakit mengizinkan dan masih terdapat pilihan rawatan yang sesuai.

Kata Dr Raymond lagi, sepanjang tempoh 12 tahun beroperasi, klinik berkenaan telah menerima pesakit dengan pelbagai masalah luka, termasuk luka kronik dan kecederaan yang memerlukan penjagaan berterusan.

Dalam aspek penjagaan luka, klinik itu turut menyediakan Advanced Oxygen Wound Therapy sebagai salah satu kaedah sokongan bagi pesakit yang dinilai sesuai.

Bagaimanapun, terapi berkenaan bukan pengganti kepada rawatan utama seperti kawalan gula, pengurusan jangkitan, pembuangan tisu mati dan penilaian peredaran darah.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pesakit diabetes supaya mendapatkan pemeriksaan perubatan sebaik sahaja mengalami kecederaan pada kaki, walaupun luka berkenaan kelihatan kecil kerana rawatan awal penting bagi mengawal komplikasi serta mengurangkan risiko luka menjadi lebih serius.