KUALA LUMPUR - Penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sabar menantikan kepulangan beliau yang menerima pengampunan bersyarat dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah.
Antara yang hadir, penyokong tegar beliau, Raidah Rashid, 65, atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Roy, yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyambut kepulangan bekas Perdana Menteri itu.
Raidah berkata, beliau bersyukur kerana penantian yang begitu lama akhirnya sampai ke penghujungnya, selain menyifatkan Jumaat sebagai hari yang dinanti-nantikan oleh para penyokong.
“Kita terus berdoa dan memohon. Akhirnya ALLAH SWT mengabulkan doa kita pada Jumaat yang mulia ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan rumah Najib pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.
Menurut Raidah, lebih ramai penyokong dijangka hadir selepas solat Jumaat bagi menyambut kepulangan Najib.
“Selepas Jumaat, ramai akan tiba, Insya-ALLAH. Sama-sama kita tengok nanti,” katanya.
Raidah berkata, kepulangan Najib merupakan detik yang sudah lama dinantikan selepas beberapa tahun penyokong terus memberikan sokongan dan mendoakan beliau.