Penyelesaian jangka panjang isu Rohingya bukan penindasan - AMK pertahan PM

Iklan
Kerajaan perlu mengimbangi tuntutan kemanusiaan dengan tanggungjawab menjaga kedaulatan, keselamatan dan kestabilan negara.Gambar kecil: Mohammed Taufiq

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempertahankan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu Rohingya dengan menegaskan usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis itu tidak boleh disifatkan sebagai tindakan menindas golongan pelarian berkenaan.

Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kerajaan perlu mengimbangi tuntutan kemanusiaan dengan tanggungjawab menjaga kedaulatan, keselamatan dan kestabilan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dakwaan bahawa Anwar kini beralih daripada pendirian asal yang mempertahankan etnik Rohingya adalah tidak tepat kerana Presiden PKR itu sejak sekian lama konsisten memperjuangkan hak masyarakat berkenaan yang menjadi mangsa penindasan rejim Myanmar.

“AMK menolak naratif bahawa Perdana Menteri menyalahkan pentadbiran terdahulu sekadar untuk meraih modal politik. Sejarah menunjukkan bahawa langkah-langkah kemanusiaan yang diambil pada masa lalu tidak disusuli langsung dengan sebarang pelan pengurusan sempadan atau ‘exit strategy’ yang jelas, maka ini adalah satu kelompongan dasar yang kesannya masih ditanggung negara sehingga hari ini.

Iklan

“Apabila Anwar ketika di dalam penjara pada tahun 2016 menggesa tindakan diambil, beliau menuntut campur tangan kemanusiaan yang strategik dan penyelesaian politik di peringkat ASEAN, bukan dasar populis yang dibiarkan tanpa pemantauan jangka panjang.

“Justeru, tiada percanggahan antara pendirian beliau ketika itu dengan langkah berstruktur yang sedang dilaksanakan sekarang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Kenyataan itu dibuat susulan kritikan peguam hak asasi manusia, Latheefa Koya yang menyifatkan kenyataan Anwar berhubung isu Rohingya sebagai memalukan, tidak berakhlak dan mencemarkan imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Latheefa sebelum ini berkata masyarakat Rohingya merupakan mangsa keganasan dan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim tentera Myanmar, satu fakta yang turut diakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau turut mendakwa kenyataan Anwar yang menafikan tanggungjawab terhadap kemasukan Rohingya ke negara ini serta mengaitkannya dengan pentadbiran terdahulu bertentangan dengan prinsip kemanusiaan dan ajaran Islam yang menggalakkan pembelaan terhadap golongan tertindas.

Mengulas perkara itu, Mohammed Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kerajaan perlu bersikap realistik dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan memandangkan Malaysia tidak boleh menanggung beban tersebut secara berterusan tanpa kerjasama negara asal dan komuniti antarabangsa.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu menegaskan, rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Myanmar merupakan langkah penting bagi memastikan sebarang proses penghantaran pulang dapat dilaksanakan secara sah, teratur dan mendapat persetujuan semua pihak.

"Berhubung tuduhan pelanggaran prinsip ‘non-refoulement’, usaha yang digerakkan Perdana Menteri adalah penghantaran pulang secara berperingkat iaitu bermula dengan 5,000 orang, yang merupakan hasil persetujuan rasmi Myanmar untuk menerima mereka semula, disertai proses pemantauan dan kerjasama serantau.

“Ini adalah langkah berstruktur yang berbeza sama sekali daripada tindakan pengusiran secara membuta tuli," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan berusaha mendapatkan penyelesaian jangka panjang terhadap isu Rohingya melalui saluran diplomatik dan kerjasama serantau, bukannya bertindak membelakangkan hak golongan terbabit.

Katanya, pendekatan pragmatik yang diambil kerajaan ketika ini bertujuan memastikan kebajikan pelarian terus terpelihara, namun dalam masa sama mengelakkan tekanan berpanjangan terhadap sumber dan kapasiti negara.

Beliau turut menyifatkan perdebatan mengenai Rohingya perlu dilihat dari sudut penyelesaian menyeluruh dan bukan sekadar polemik politik yang gagal menawarkan jalan keluar kepada krisis berlarutan itu.

"Kerajaan Madani tidak akan membiarkan rakyat tempatan terus menjadi mangsa keadaan akibat kelompongan dasar masa lalu. Langkah pragmatik Perdana Menteri pada hari ini adalah satu permulaan konkrit ke arah menoktahkan krisis yang telah lama membarah tanpa sebarang penyelesaian tuntas," katanya lagi.