KECERDASAN buatan (AI) kini memasuki fasa baharu apabila teknologi itu bukan lagi sekadar membantu manusia menyiapkan tugasan, sebaliknya mula mengambil alih sebahagian proses kerja dalam organisasi.
Perubahan itu menyaksikan sistem AI berupaya mentafsir maklumat, berinteraksi dengan pelbagai perisian serta melaksanakan tugasan berbilang langkah secara automatik.
Jika sebelum ini AI generatif banyak digunakan untuk mempercepatkan kerja seperti menghasilkan kandungan atau mendapatkan maklumat, tumpuan kini beralih kepada penggunaan ejen AI yang mampu menjalankan aliran kerja dengan campur tangan manusia yang minimum.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exodus Markets, Kezy Chong berkata, perubahan berkenaan turut memaksa organisasi melihat semula cara mereka menjalankan operasi harian.
Menurutnya, persoalan utama bukan lagi sekadar bagaimana pekerja boleh menggunakan AI, tetapi bagaimana proses kerja sedia ada boleh disusun semula dengan bantuan teknologi itu.
Pendekatan berkenaan bagaimanapun tidak bermakna manusia diketepikan, sebaliknya AI dilihat sebagai alat untuk mengurangkan tugasan berulang supaya tenaga kerja boleh memberi tumpuan kepada kerja yang memerlukan pertimbangan dan kemahiran manusia.
Dalam usaha melihat peluang itu secara lebih praktikal, Exodus Markets memperkenalkan Program Exodus A.C.T. yang memberi tumpuan kepada pengenalpastian proses kerja yang boleh ditambah baik menerusi penggunaan AI.
Program berkenaan dilaporkan menerima lebih 5,000 permohonan dalam tempoh beberapa bulan, menunjukkan minat organisasi untuk mencari kaedah menggunakan AI melangkaui fungsi asas.
Pada masa sama, perkembangan ejen AI menyaksikan syarikat mula memberi perhatian kepada automasi dalam bidang seperti pengurusan maklumat, pemesejan, khidmat pelanggan dan pemasaran.
Berdasarkan data dalaman Exodus Markets, penggunaan beberapa penyelesaian automasi dalam aliran kerja terpilih membantu mengurangkan tugasan manual dan meningkatkan kecekapan lebih 50 peratus.
Kezy yang juga penerima anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2025 berkata, nilai sebenar AI lebih mudah dilihat apabila teknologi itu digunakan bagi menyelesaikan masalah kerja yang sebelum ini memerlukan masa serta penyelarasan manusia yang panjang.
"Apabila proses yang mengambil masa berjam-jam dapat dipendekkan dengan ketara, ketika itu AI mula menghasilkan nilai yang boleh diukur," katanya.
Perkembangan itu memberi gambaran bahawa persaingan perniagaan pada masa depan mungkin tidak hanya berkisar kepada siapa memiliki teknologi AI paling canggih, tetapi sejauh mana organisasi mampu menyesuaikan cara bekerja dengan perubahan tersebut.