E-waste ada nilai dan bahaya

Iklan
Kegagalan mengitar semula e-waste boleh meningkatkan pencemaran dan menyebabkan sumber bernilai terlepas begitu sahaja. - Imej janaan AI

TELEFON bimbit, komputer, televisyen, peti sejuk dan pelbagai peralatan elektrik yang sudah rosak mungkin kelihatan seperti sampah biasa, namun hakikatnya ia boleh menjadi ancaman jika tidak dilupuskan dengan cara yang betul.

Isu ini semakin membimbangkan apabila Malaysia bukan sahaja berdepan peningkatan e-waste domestik, malah cubaan membawa masuk sisa elektronik dari luar negara.

Iklan
Iklan

Penahanan kontena mengandungi e-waste di pelabuhan baru-baru ini seharusnya membuka mata masyarakat bahawa isu berkenaan bukan perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata.

Pada masa sama, jumlah e-waste yang dihasilkan di dalam negara juga besar. Data kerajaan menunjukkan Malaysia merekodkan hampir 600,000 tan metrik e-waste bagi tempoh 2020 hingga 2024, merangkumi sektor industri dan isi rumah.

Iklan

Tidak semua sisa berkenaan berakhir di premis pemulihan berlesen, sebahagiannya mungkin dibuang bersama sampah biasa atau dikendalikan oleh pihak yang tidak mempunyai kelulusan.

E-waste mengandungi pelbagai bahan yang berpotensi mencemarkan alam sekitar sekiranya diuruskan secara tidak terkawal. Jika dibakar atau dibuang ke kawasan terbuka, bahan toksik boleh mencemarkan tanah, air dan udara.

Iklan

Pendedahan kepada bahan berbahaya seperti plumbum dan merkuri juga boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Ironinya, e-waste turut mempunyai nilai ekonomi. Peralatan elektronik mengandungi logam dan bahan yang boleh dipulihkan serta digunakan semula.

Kegagalan mengitar semula bukan sahaja meningkatkan pencemaran, malah menyebabkan sumber bernilai terlepas begitu sahaja.

Justeru, kesedaran masyarakat perlu bergerak daripada sekadar mengetahui istilah e-waste kepada tindakan sebenar. Pengguna juga perlu lebih bertanggungjawab sebelum membeli peranti baharu dengan memastikan peralatan lama dilupuskan melalui saluran yang betul.

Isu e-waste bukan hanya tanggungjawab kerajaan kerana setiap peranti yang dibuang hari ini menentukan sama ada ia menjadi sumber ekonomi untuk masa depan atau beban pencemaran kepada generasi seterusnya.