NEW DELHI – Seorang wanita yang disangka mati dibunuh sehingga menyebabkan suaminya dipenjarakan atas kesalahan itu mengejutkan pihak berkuasa apabila ditemui masih hidup 12 tahun kemudian.
Shakuntala Devi dilaporkan hilang dari rumahnya di Rohtas, Bihar pada 2014. Beberapa hari kemudian, mayat seorang wanita tidak dikenali ditemui dalam sebuah terusan berhampiran perkampungan Khanda dan dikenal pasti oleh ahli keluarganya.
Suaminya, Arun Mehta, dan bapa mentua dan adik iparnya kemudiannya ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.
Mehta juga pernah dipenjarakan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
Kira-kira dua bulan lalu, keluarga Devi menerima maklumat bahawa wanita itu sebenarnya masih hidup dan berada di perkampungan Labhari, daerah Garhwa, Jharkhand.
Pihak berkuasa kemudian menemuinya di sebuah kampung di Garhwa dan wanita itu menggunakan nama Kanti Devi dan tinggal bersama seorang lelaki.
Penemuan itu menyebabkan polis membuka semula siasatan termasuk menyiasat identiti mayat yang ditemui pada 2014 dan bagaimana ia boleh tersalah dikenal pasti sebagai Devi.
Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan wujud unsur penipuan atau konspirasi dalam kes berkenaan. - Agensi