SEREMBAN - Pentadbiran Negeri Sembilan menegaskan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 19 April 2026.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dalam kenyataannya berkata, tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan.
"Pejabat SUK Negeri Sembilan merujuk kepada kenyataan Menteri Besar pada 17 September 2026 semasa sesi temu ramah dengan pengamal media berkaitan dengan arahan untuk mewartakan proklamasi bertarikh 19 April 2026.
"Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui satu kenyataan media pada 17 September 2026 telah menyatakan antara lain bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026, adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin
Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin
Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS - Undang Luak Rembau
[KRONOLOGI] Kemelut takhta Negeri Sembilan
Menurutnya, dari segi perundangan, pentadbiran akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi tersebut.
Jelasnya, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka.
"Berdasarkan perkara-perkara di atas dan keseluruhan kenyataan media AGC pada 17 September 2026, pentadbiran ini menerima nasihat berkenaan dan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi tersebut kerana tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan.
"Pentadbiran ini juga telah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang negeri, bagi memastikan bahawa apa jua tindakan yang perlu diambil akan dilaksanakan mengikut UUTKNS 1959," katanya.