SEREMBAN - Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikaikan, Tunku Besar Tampin dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong akan mengambil tindakan lanjut berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding komital atau menghina mahkamah dalam pertikaian berkaitan pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Peguam yang mewakili kesemua pembesar adat tersebut menerusi kenyataan media berkata, kes komital terbabit masih di peringkat awal dan sebarang merit pembelaan dan isu substantif yang menjadi asas tindakan masih belum didengar dan diputuskan oleh mana-mana peringkat mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.
"Anak guam kami ambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dan tindakan susulan menurut undang-undang akan diambil berikutan keputusan tersebut.
"Mahkamah Rayuan hanya membuat keputusan berkenaan notis usul yang difailkan oleh pihak Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong bagi permohonan penangguhan prosiding komital di Mahkamah Tinggi Seremban,"kata mereka dalam kenyataan pada Rabu.
Peguam berkenaan ialah Awang Armadajaya, Asmawi Ismail, Azam Aziz dan Emirul Sarifudin Nor Azmi.
Menurut mereka lagi, tiada sebarang keputusan yang dibuat berkenaan samada kebenaran komital yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Seremban sebelum ini adalah teratur menurut undang-undang.
Ini kerana kata kenyataan itu, Mahkamah Rayuan masih belum mendengar dan memutuskan permohonan rayuan utama kesemua pembesar adat terbabit berkaitan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang membenarkan prosiding komital.
Selain itu, mereka turut menegaskan bahawa, Mahkamah Rayuan juga tidak langsung mendengar atau memutuskan berkenaan siapa Yamtuan atau Undang dan ahli DKU yang sah.
Justeru kata mereka, mana-mana pihak yang cuba mengaitkan keputusan Mahkamah Rayuan dengan perkara berkenaan adalah salah dan dipetik di luar konteks.
"Mahkamah Rayuan hari ini hanya mendapati tiada keadaan khas untuk penangguhan pendengaran prosiding komital diberikan.
"Mahkamah juga menyatakan ia tidak mempunyai kuasa di peringkat ini untuk menilai sebarang isu subtantif (bidang kuasa, perlindungan perlembagaan, makna perkataan raja, keabsahan mana-mana Raja, Undang dan ahli DKU dan atau lain-lain isu yang berkenaan) kerana ia masih belum didengar dan belum diputuskan lagi oleh Mahkamah Tinggi," katanya.