'Dia lasak, kami masih harap Ridzuan ditemui selamat'

Iklan
Bapa mangsa Ruhaizat Muhidin, 69, (kanan), tidak dapat menahan air matanya ketika menunggu perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya, Ridzuan, salah seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan masih hilang di Pos Kawalan Tempat Kejadian, Jeti Sementa Klang pada Khamis. Foto Bernama

KLANG - Keluarga kepada Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, yang hilang di perairan One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam di sini, baru-baru ini mengharapkan pemancing itu ditemukan dalam keadaan selamat.

Bapa saudara mangsa, Khairul Muhidin, 47, berkata, dia kali terakhir berjumpa dengan kontraktor sebuah syarikat utiliti itu di kediamannya di Jalan Kebun di sini pada 4 September dan mereka berbual seperti biasa khususnya melibatkan hal kerja.

Iklan
Iklan

"Namun, pada malam kejadian (Ahad) saya yang berada di rumah terkejut, apabila ahli keluarga datang dan memaklumkan insiden itu serta segera menghubungi talian kecemasan 999,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Sementa di sini petang tadi.

Khairul ditemui wartawan ketika menunggu perkembangan operasi SAR anak saudaranya, salah seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan masih hilang di Pos Kawalan Tempat Kejadian, Jeti Sementa Klang pada Khamis. Foto Bernama

Iklan

Khairul berkata, dia sekeluarga sehingga kini masih berharap Muhammad Ridzuan selamat, kerana dia merupakan individu yang lasak dan turut memakai jaket keselamatan ketika kejadian.

"Anak keempat daripada enam beradik yang masih bujang itu sememangnya gemar memancing dan kerap turun ke laut selama ini.

Iklan

"Mungkin dia sempat memegang sesuatu atau tong yang boleh membantunya terus terapung. Kami cuma bimbang jika berlakunya dehidrasi di laut,” katanya.

Beliau berkata, dia akan terus berada di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di jeti itu bagi mendapatkan maklumat terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (dua kanan) bersama ahli keluarga mangsa menunggu perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang di Pos Kawalan Tempat Kejadian, Jeti Sementa Klang pada Khamis. Foto Bernama

Dalam pada itu, Khairul berkata, dua lagi saudaranya iaitu Mohd Rizal Mohamad Sadali dan Muhd Hamiszar Punirain, masing-masing 45, yang terselamat dalam insiden itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Mohd Rizal telah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam manakala Muhd Hamiszar yang cedera di leher sedang dirawat di Hospital Banting. Mereka berdua setakat ini dilaporkan stabil namun masih trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dipercayai pemancing hilang ditemukan memakai jaket keselamatan, diikat pada tong

Mayat pemancing ditemui terapung disahkan Mohd Shahril

‘Berdasarkan bentuk badan, pakaian itu memang arwah Shahril’

Bot dinaiki tujuh pemancing dipercayai terbalik akibat ribut, ombak kuat

Suasana hiba di jeti, keluarga buat pengecaman mayat pemancing

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad turut menziarahi keluarga mangsa dan mendapatkan perkembangan lanjut berhubung insiden itu.

Pada Selasa, operasi SAR pihak berkuasa berjaya menemukan empat daripada tujuh pemancing yang hilang di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi itu.

Selain Mohd Rizal dan Muhd Hamiszar, mereka yang terselamat ialah Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, dan tekong bot Zulfikalnain Awang, 47.

Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat Mohd Shahril Abd Rahman, 43, di perairan Hutan Melintang, Perak manakala dua lagi yang masih hilang ialah Muhamad Ridzuan dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, masing-masing 49 tahun. - Bernama