DATUK Seri Shahril Mokhtar menerima dengan hati terbuka keputusan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak memilihnya sebagai presiden baharu badan induk itu pada Kongres Luar Biasa di Petaling Jaya pada Khamis.
Malah Timbalan Presiden Bolasepak Selangor (FAS) itu juga tidak bercadang mengambil sebarang tindakan susulan atau mencabar keputusan berkenaan walaupun sebelum kongres berlangsung timbul pertikaian mengenai kelayakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.
Sebaliknya, beliau mahu barisan kepimpinan baharu FAM memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki pengurusan badan induk itu demi kemajuan bola sepak negara.
"Tidak (akan mencabar keputusan kongres). Demi semangat bola sepak, saya tidak akan buat. Harapan saya supaya buat kerja betul-betul, naikkan martabat bola sepak negara, buat secara tulus dan kesilapan lama jangan ulang," katanya.
Pada pemilihan itu, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden FAM selepas memperoleh 20 daripada 25 undi keseluruhan.
Shahril berkata, kekalahan dalam pemilihan itu tidak mengubah komitmennya untuk terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak menerusi peranan yang disandangnya di FAS dan Selangor FC.
"Jiwa saya jiwa bola sepak, saya tidak ke mana. Saya masih di FAS dan juga Selangor FC. Kalau hari ini kita tengok, perwakilan sudah buat keputusan, jadi kita harus hormati," katanya.
Sebelum kongres bermula, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John yang bertindak sebagai Pengerusi Majlis memaklumkan kongres boleh diteruskan walaupun terdapat surat daripada FAS yang mempertikaikan kelayakan Abdullah.
Windsor berkata, rayuan bagaimanapun boleh dikemukakan sekiranya terdapat bantahan daripada perwakilan berhubung kemungkinan berlaku kecacatan dalam pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan.
Shahril turut berharap kepimpinan baharu FAM membawa perubahan dari segi cara bekerja, terutama dalam memastikan kesilapan lalu tidak berulang.
"Harapan saya satu, walaupun kita tengok balik 95 peratus adalah muka-muka lama, saya harap cara bekerja harus berubah demi bola sepak negara," katanya.