MyKad baharu: Tumpuan ramai di JPN Putrajaya, urusan lancar

Iklan
Orang ramai sedang berurusan di kaunter JPN. Gambar kecil dari kiri : Puteri Nur Syafiqah, Shaza Nuizeaan Shafie dan Foo Yew Jin

PUTRAJAYA – Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjadi tumpuan orang ramai susulan hari pertama pengeluaran MyKad generasi baharu pada Khamis.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ruang menunggu mula dipenuhi orang ramai sejak awal pagi, dengan kesemua 30 kaunter dibuka bagi menguruskan permohonan dan memastikan urusan pemohon berjalan lancar.

Iklan
Iklan

Rata-rata pemohon yang ditemui turut berpuas hati dengan kelancaran proses berkenaan, termasuk urusan pengambilan gambar, pembayaran dan penyerahan dokumen.

Puteri Nur Syafiqah Jailani, 19, dari Putrajaya berkata, kemudahan membuat janji temu secara dalam talian membantu mempercepatkan proses penggantian MyKad.

Iklan

Menurutnya, keseluruhan urusan yang dilaluinya termasuk pengambilan gambar dan pembayaran mengambil masa tidak sampai 40 minit.

“Sangat berpuas hati sebab saya sampai sekejap, dah selesai," katanya.

Iklan

Menurut Puteri Nur Syafiqah, antara ciri baharu yang menarik perhatiannya ialah kod QR serta ciri keselamatan yang hanya dapat dilihat menggunakan cahaya ultraungu (UV).

"Sejujurnya yang paling gempak sebab kad pengenalan ini ada kod QR tersendiri," jelasnya.

Menurut mahasiswa UiTM Kampus Lendu, Melaka itu, penambahan ciri keselamatan berkenaan memberikan keyakinan bahawa MyKad baharu lebih sukar ditiru atau dipalsukan.

Orang ramai sedang beratur untuk dapatkan nombor giliran.

MyKad generasi baharu diperkenalkan secara berperingkat selepas lebih dua dekad penggunaan reka bentuk MyKad sedia ada, dengan penambahbaikan dari aspek reka bentuk, struktur, teknologi cip dan ciri keselamatan.

MyKad baharu itu mempunyai 53 ciri keselamatan, berbanding 23 ciri pada MyKad sebelum ini, termasuk kod QR untuk tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, hologram keselamatan dinamik, ciri UV, turihan laser, teks mikro serta teknologi cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.

Dari segi fizikal, MyKad baharu menggunakan bahan polikarbonat berketahanan tinggi serta menampilkan corak keselamatan seperti Guilloche.

Kedudukan cip turut berubah ke bahagian belakang kad, manakala kod QR turut ditempatkan di bahagian belakang bagi menyokong proses pengesahan.

Sementara itu, Shaza Nuizeaan Shafie, 48, dari Puchong, berkata kemudahan janji temu dalam talian turut membantunya menyelesaikan urusan dengan cepat.

Dia yang bekerja sebagai penyelia di syarikat swasta hadir bersama dua anak untuk urusan MyKad berkata, prosesnya mengambil masa kurang 10 minit selepas mendapatkan nombor giliran bagi pemohon yang membuat janji temu.

“Berpuas hati... Perkhifmatan pun baik sangat hari ini walaupun nampak ramai tapi alhamdulillah lancar,” katanya.

Bagi Foo Yew Jin pula, pengalaman menguruskan penggantian MyKad yang hilang kali ini disifatkan sebagai antara yang terpantas.

Beliau berkata, selepas tiba sekitar jam 8.15 pagi, beliau mendapatkan nombor giliran sebelum membuat laporan kehilangan, membayar denda dan menerima slip untuk proses seterusnya.

Katanya, selepas menyerahkan slip berkenaan, beliau hanya menunggu kira-kira 30 minit sebelum menerima MyKad baharu.

“Daripada pertama kali saya buat IC sampai kali keenam ni, ni boleh kira paling cepatlah,” katanya.

Foo,36, turut menyifatkan MyKad baharu itu kelihatan lebih kukuh dan moden, selain mempunyai lebih banyak fungsi keselamatan.

Bagaimanapun, beliau menyedari satu perubahan pada MyKad baharu apabila fungsi Touch 'n Go tidak lagi tersedia seperti kad terdahulu.

“Tapi apa yang saya tahu, Mykad baharu ini mempunyai banyak fungsi cuma kekurangannya adalah tidak lagi mempunyai Touch n Go," jelasnya.

Beliau turut berpandangan penambahan ciri keselamatan pada MyKad baharu memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap perlindungan identiti.

“Sebagai rakyat, rasa selamatlah sikit,” katanya.