Kedai emas dirompak empat lelaki, kerugian cecah RM1 juta

Iklan
Kedai emas dirompak dan kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.

SUNGAI PETANI - Sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di sini mengalami kerugian kira-kira RM1 juta akibat dirompak empat lelaki, dalam kejadian lebih kurang 7.20 malam Rabu.

Suspek yang memakai topi keledar disyaki melarikan barang kemas setelah memecahkan tiga kotak pameran kaca menggunakan tukul dan objek tajam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan siasatan, suspek disyaki berhenti di hadapan pasar raya, sebelum dua lelaki masuk ke dalam premis dan dua lagi menunggu di motosikal dengan jarak hanya sekitar 20 meter.

Kejadian rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di Sungai Petani, Kedah.

Iklan

"Pada jam lebih kurang 7.20 malam, kita terima panggilan pertama daripada orang awam mengatakan ada insiden rompakan di sebuah kedai emas dalam bangunan pasar raya ini.

"Kita percaya suspek menaiki dua motosikal...nilai kerugian masih dalam siasatan awal, tetapi anggaran pemilik antara RM700,000 hingga RM1 juta," katanya kepada media.

Iklan

Mengulas tindakan orang awam mengejar suspek sehingga timbul dakwaan sebahagian barang kemas dipulangkan, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

"Kita terima maklumat ada orang awam cuba membantu selepas kejadian, dalam masa sama, beberapa barang kemas telah dijumpai dan dikembalikan kepada pihak polis selepas kejadian.

"Namun harus diingatkan perlu berhati-hati kerana khuatir mereka ini mungkin mempunyai senjata yang lebih bahaya daripada yang digunakan," jelasnya.

Menurut Hanyan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.

"Kita melihat apa saja maklumat yang mereka boleh membantu kita, walaupun mereka bertopeng, daripada paras rupa, bentuk badan, perbualan, ataupun maklumat-maklumat yang lebih awal daripada sebelum kejadian, mungkin yang mereka nak salurkan, boleh terus hubungi," katanya.

Difahamkan, dua pekerja wanita yang berada dalam premis kedai emas sempat menekan penggera keselamatan sebelum kejadian disedari orang awam yang berada di pasar raya terbabit.

Hanyan berkata, berdasarkan maklumat, premis berkenaan pernah dirompak dua tahun lalu dengan nilai kerugian lebih kurang sama direkodkan.

Premis berkenaan dikatakan tidak dibekalkan pengawal keselamatan semasa kejadian.

Jelas beliau, tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa kejadian, setakat ini.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di pasar raya berkenaan akan diteliti bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan bersenjata yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.