SEREMBAN - Tindakan Exco kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan berkenaan penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan suatu perbuatan derhaka.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap setiap Exco yang terlibat.
Ini kerana katanya, mengikut UUTKNS, barisan Exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa keputusan berhubung dengan kedudukan Tuanku Muhriz.
"Dewan Keadilan dan Undang(DKU) telah bersidang pada 13 September 2026 dan mengeluarkan keputusannya pada 14 September 2026.
"Keputusan tersebut antara lain menegaskan semula bahawa proklamasi (penurunan takhta Tuanku Muhriz) itu tidak sah dan terbatal sejak awal," katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan negeri telah pun menyatakan secara terbuka bahawa dokumen proklamasi tersebut tidak memenuhi proses dan tatacara yang ditetapkan dalam Perkara 10.
Ujarnya, turut dinyatakan bahawa proklamasi itu tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.
"Namun, tujuh hari kemudian, barisan Exco yang sama pula memutuskan bahawa proklamasi tersebut telah lengkap dan berkuat kuasa.
"Perubahan pendirian ini sukar difahami sedangkan menurut UUTKNS, ahli-ahli Exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa keputusan berhubung dengan kedudukanTuanku Muhriz," katanya.
Jelasnya lagi, DKU telah pun bersidang pada 13 September 2026 dan mengeluarkan keputusannya dengan menegaskan semula bahawa proklamasi itu tidak sah dan terbatal sejak awal serta Tuanku Muhriz ialah satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Namun katanya, timbul persoalan berkenaan pengumuman menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh barisan Exco pada 16 September 2026 yang menyatakan bahawa proklamasi tersebut hanya disempurnakan menurut Perkara 10(2) apabila Menteri Besar menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos 2026.
"Pengumuman yang sama turut menyatakan bahawa seorang pengganti telah dipilih pada 19 April 2026 menurut Perkara 11.
"Pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan berkenaan masih disandang," katanya.
Justeru kata Aminuddin, beliau tidak mengiktiraf pengumuman tersebut dan menegaskan Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa dokumen proklamasi tersebut turut dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani pada 20 April 2026 ketika masih menjadi Menteri Besar.
"Tapi, saya enggan menandatangani dokumen tersebut atas sebab-sebab yang telah saya nyatakan secara terbuka pada ketika itu.
"Saya menegaskan bahawa kerajaan Negeri tidak dapat menerima dan tidak mengiktiraf tindakan Mubarak Dohak (Undang Luak Sungei Ujong yang dipertikai) yang terlibat dalam urusan proklamasi tersebut serta menyempurnakannya pada 19 April 2026," katanya.
Ini kerana ujarnya, Mubarak bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong dan tindakan tersebut tidak menepati kehendak Perkara 10 UUTKNS.
Justeru itu katanya, perkara yang sama tidak boleh dikemukakan semula kepada Menteri Besar yang lain.
"Ini kerana tiada siasatan penuh dan lengkap pernah dijalankan menurut Perkara 10(1) UUTKNS.
"Pernyataan Undang Luak Johol dalam afidavit yang dikemukakan bagi permohonan Semakan Kehakiman bertarikh 17 Julai 2026 (Guaman Sivil No. WA-25-201-07/2026) turut mengukuhkan pendirian saya pada 20 April 2026," katanya.
Beliau mendakwa yang Undang Luak Johol telah memberikan kenyataan tidak benar dalam afidavit sokongan bertarikh 17 Julai 2026.
"Beliau menyatakan bahawa saya hadir dalam mesyuarat pada 5 Mac 2026 di Balai Undang Sungai Ujong dan mendakwa bahawa siasatan penuh dan lengkap sebagaimana yang dikehendaki oleh Perkara 10 UUTKNS telah dijalankan dalam mesyuarat tersebut.
"Dakwaan ini merupakan suatu pembohongan yang nyata. Tiada siasatan penuh dan lengkap pernah dijalankan di hadapan saya seperti yang didakwa dan ia merupakan antara sebab saya enggan menandatangani dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu," katanya.
Malah katanya, tiada sebarang dakwaan pernah dikemukakan terhadap Tuanku Muhriz selain baginda juga tidak pernah diberi peluang untuk menjawab sebarang dakwaan.
"Hal ini merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi," katanya.