PERAI – Tindakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun memandu kereta membawa padah apabila kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan dua kereta lain di Taman Chai Leng di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya mengesan satu video mengenai kejadian itu yang tular di media sosial pada Rabu.
Menurutnya, polis turut menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.47 malam pada Selasa.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4.50 petang di kawasan Taman Chai Leng dan membabitkan tiga kereta di dua lokasi berasingan.
“Kejadian berlaku apabila kereta dipandu remaja berusia 14 tahun dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 sebelum melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nik Aminuddin berkata, remaja terbabit kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5.
Katanya, kenderaan itu kemudian melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan yang betul.
“Akibat kemalangan tersebut, ketiga-tiga kereta mengalami kerosakan.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
“Siasatan masih dijalankan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur memandu kenderaan.
“Tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pemandu serta pengguna jalan raya yang lain.
“Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.
Terdahulu tular video memaparkan seorang remaja bawah umur memandu sebuah kereta sebelum dipercayai melanggar beberapa kenderaan serta tiang di kawasan medan selera Taman Chai Leng di sini.
Video berdurasi 45 saat itu turut memaparkan orang ramai cuba menghalang kereta berkenaan daripada terus bergerak sebelum mendapati pemandunya adalah remaja berusia 14 tahun.