'y=mx+c’ - Ahli Parlimen Bachok kemuka formula ‘muafakat’ Pas-UMNO

Iklan
Mohd Syahir

SHAH ALAM - Usaha penyatuan ummah wajar diangkat daripada sekadar strategi pilihan raya kepada agenda kenegaraan bagi memperkukuh kebersamaan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, asas penyatuan itu perlu bersifat inklusif dengan membuka ruang kepada seluruh kekuatan Melayu-Islam, termasuk parti politik, tokoh berpengaruh dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersedia mencari titik persamaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha berkenaan tidak boleh hanya bersandar kepada harapan atau sentimen, sebaliknya perlu berasaskan kesedaran, selain diperkukuh dengan integriti dan prestasi.

Perkembangan itu hadir ketika agenda penyatuan ummah kembali mendapat perhatian susulan usaha memperkukuh hubungan Pas dan UMNO.

Iklan

Pada 5 September lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan menjadi antara ujian kepada penyatuan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Syahir turut hadir bersama beberapa pemimpin Pas pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 11 September lalu, ketika hubungan kedua-dua parti kembali mendapat perhatian.

Iklan

Berhubung rundingan kerusi, Mohd Syahir mencadangkan formula ‘muafakat’ yang positif bagi mengelakkan pertembungan dan mengoptimumkan kekuatan setiap parti.

Beliau mengemukakan formula 'y=mx+c’, dengan ‘M’ merujuk muafakat, ‘X’ kerusi penyandang PN/BN untuk mengelakkan pertembungan sebagai asas kekuatan, manakala ‘C’ ialah kerusi marginal PH yang boleh ditawan tanpa pertindihan.

“Ini formula ‘muafakat’ yang terbukti menjadi di Negeri Sembilan, sehingga kerajaan PH boleh ditumbangkan.

“Asasnya, (1) pertahan, (2) perluaskan. Sekalipun ada (3) pertukaran, serahkan kepada Presiden untuk tentukan,” katanya.

Mohd Syahir berkata, jika formula ‘linear’ itu diterima, perkiraan yang dibuat ialah mencapai majoriti lebih 112 kerusi Parlimen serta memenangi 10 negeri di Semenanjung, termasuk Selangor.

Beliau bagaimanapun mengakui usaha penyatuan berkenaan tidak mudah kerana pasti wujud cemburu dan iri hati yang disifatkannya sebagai ujian sepanjang zaman.

Katanya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sudah mengingatkan bahawa rundingan kerusi akan menjadi ujian kepada penyatuan ummah.

“Jangan menang secupak, rugi segantang,” katanya.

Mohd Syahir turut memetik peringatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya perbezaan dan pertembungan dalam kalangan pihak yang terbabit tidak akhirnya merugikan usaha penyatuan.

“Jangan sampai lesung dan alu berlaga, ayam yang kenyang,” katanya.

Mengenai hala tuju penyatuan ummah, Mohd Syahir berkata, Pas kekal konsisten dengan ‘roadmap’ al-Quran dan Sunnah dalam usaha berkenaan.

“Segalanya demi mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan watan, tanpa menafikan hak bukan-Islam; supaya Malaysia terus makmur, stabil, dan harmoni.

“Cahaya di ufuk sudah kelihatan. Namun jalan di hadapan masih berliku.

“Kini, terserah kepada sekalian pembesar kabilah yang budiman. Kami di bawah menantikan,” katanya.