HONG KONG - Seorang penjenayah Korea Selatan yang sedang menjalani hukuman penjara di Filipina dilaporkan merancang meloloskan diri dengan cara luar biasa iaitu mengikat dirinya pada sebuah dron sebelum rancangan itu terbongkar menerusi rakaman latihan rakannya.
Park Wang-yeol, 47, dilaporkan membelanjakan kira-kira AS$74,000 (RM299,360) bagi menjayakan rancangan meloloskan diri menggunakan dron tersebut.
Wang-yeol dijatuhi hukuman penjara 60 tahun pada 2022 kerana membunuh tiga warga Korea Selatan di sebuah ladang tebu di luar Bacolod City pada 2016.
Kes pembunuhan itu menyebabkan dia digelar sebagai ‘pembunuh ladang tebu’.
Menurut laporan penyiar Korea Selatan, JTBC, rancangan meloloskan diri menggunakan dron itu dirancang pada awal tahun ini, beberapa minggu sebelum Wang-yeol dihantar pulang sementara ke Korea Selatan pada Mac.
Dia dibawa pulang bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengimportan 4.8 kilogram methamphetamine.
Bagaimanapun, rancangan luar biasa itu gagal dilaksanakan selepas rakaman latihan yang dilakukan seorang rakannya membongkar komplot berkenaan.
Rakaman tersebut dilaporkan menunjukkan persediaan bagi menguji kaedah meloloskan diri menggunakan dron sebelum ia digunakan untuk membawa Wang-yeol keluar dari penjara.
Cubaan tersebut bukan kali pertama Wang-yeol cuba meloloskan diri daripada tahanan.
Dia sebelum ini pernah berjaya melarikan diri sebanyak dua kali, masing-masing pada 2017 dan 2019 ketika sedang dibawa pulang selepas menghadiri prosiding mahkamah.
Wang-yeol kini berada di Korea Selatan selepas penghantaran pulang sementara pada Mac bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah. - Agensi