'Kes pukul, hiris isteri' - Lelaki miliki 27 rekod jenayah ditahan

Iklan
Seorang wanita menempuh detik menyeksakan apabila dipukul dan dihiris menggunakan senjata tajam oleh suaminya.

KUALA LUMPUR - Seorang wanita menempuh detik menyeksakan apabila dipukul dan dihiris menggunakan senjata tajam oleh suaminya dalam kejadian pada Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor perubatan di Hospital Ampang pada 29 Ogos lalu, kira-kira jam 2.19 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laporan itu dibuat selepas pihak hospital menerima dan merawat mangsa yang berusia lingkungan 40 tahun kerana disyaki dipukul serta dihiris menggunakan senjata tajam oleh suspek yang juga suaminya.

"Mangsa dan suspek berkahwin melalui perkahwinan adat yang tidak didaftarkan.

Iklan

"Mangsa yang mengalami kecederaan telah dimasukkan ke wad ortopedik sebelum tampil membuat laporan polis sendiri sejurus dibenarkan keluar dari hospital pada 4 September lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melancarkan serbuan di perkarangan IPD Dang Wangi pada 8 September lalu, kira-kira jam 4.10 petang.

Iklan

Katanya, serbuan itu berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 tahun yang tidak bekerja.

"Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 27 rekod lampau melibatkan 15 kes jenayah dan 12 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut disahkan positif dadah," katanya.

Sazalee berkata, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 14 September lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.