UMNO tidak terhegeh-hegeh kekal dalam Kerajaan Pulau Pinang

Iklan
Mohd Hilmi

GEORGE TOWN - UMNO tidak terhegeh-hegeh untuk kekal dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang sebaliknya keputusan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dibuat sendiri Pakatan Harapan (PH) negeri.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata, perkara itu jelas apabila Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan pada 8 Ogos lalu bahawa kerjasama PH bersama BN akan diteruskan dalam pentadbiran negeri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Iklan
Iklan

"Jadi sekarang kita nak tanya Guan Eng, kenapa baru sekarang bising? Kenapa baru sekarang nak mempertikaikan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Pulau Pinang.

“Kalau benar tidak mahu UMNO, kenapa keputusan PH Pulau Pinang sebelum ini masih mengekalkan kerjasama dengan UMNO?” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Penasihat DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Pulau Pinang susulan dakwaan parti itu semakin aktif bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pas dalam pentadbiran negeri.

Guan Eng berkata, keadaan itu didakwa menunjukkan UMNO tidak lagi mempunyai nilai untuk terus berada dalam kerajaan negeri selain boleh memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap kepimpinan PH Pulau Pinang.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Hilmi berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat PH Pulau Pinang pada 8 Ogos lalu dan antara perkara yang dipersetujui ialah mengekalkan Exco BN dalam pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan persefahaman kerjasama yang terjalin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

“Dan kenapa Lee Guan Eng tidak memberontak dalam DAP apabila keputusan itu telah dinyatakan? Atau ini ada agenda peribadi beliau dengan Ketua Menteri Pulau Pinang?” soalnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan, UMNO tidak gentar dengan sebarang ugutan atau cabaran untuk dikeluarkan daripada Kerajaan Pulau Pinang.

“UMNO bukan terhegeh-hegeh mahu kekal dalam Kerajaan Pulau Pinang. PH Pulau Pinang sendiri yang memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO. Kalau sekarang mahu tutup pintu, silakan,” katanya.

Tambahnya, UMNO tidak pernah takut untuk berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada mana-mana pihak bagi mempertahankan kedudukannya.

“UMNO tidak pernah takut berdiri sendiri. Kami tidak mengemis jawatan, kami tidak bergantung pada sesiapa. Prinsip tetap prinsip.

“Kalau mahu lawan, silakan, kami bersedia. Yang penting, jangan main politik ugut-ugut," tegasnya.

Pada 8 Ogos lalu, Kon Yeow mengesahkan PH Pulau Pinang bersetuju mengekalkan wakil BN dalam pentadbiran negeri sehingga pilihan raya umum akan datang, selaras dengan persefahaman kerjasama yang terbentuk ketika PRN Pulau Pinang 2023.

Ketika ini, UMNO diwakili Datuk Rashidi Zinol dalam barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan.