TANGGA BATU – UMNO bersedia diaudit pada bila-bila masa berhubung isu ketelusan kutipan Tabung Solidariti RM50 juta yang diwujudkan bagi membantu membayar denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu tidak mempunyai apa-apa perkara untuk disembunyikan kerana semua sumbangan yang diterima disalurkan melalui satu akaun khas.
"Kita bersedia untuk diaudit pada bila-bila masa kerana tidak ada apa yang kita hendak takutkan.
"Dari awal lagi kita sudah umumkan bahawa akaun ini hanya satu sahaja dan semuanya akan melalui akaun ini. Kalau hendak audit pun, auditlah akaun ini.
"Kita tidak ada masalah kerana kita boleh tunjukkan bagaimana transaksi sekecil-kecil RM20 daripada ahli berlaku setiap minit," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Ceramah Gelombang Biru Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di sini pada Isnin.
Turut hadir Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan; dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, tempoh hampir tiga bulan diambil bagi memastikan jumlah kutipan dana mencukupi sebelum sasaran RM50 juta berjaya dicapai.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang hanya membangkitkan isu audit apabila kutipan dana dilakukan oleh UMNO dan BN.
"Harus berlaku adil. Kenapa apabila BN dan UMNO buat, hendak diaudit, tetapi ketika DAP buat dahulu, tidak pula diaudit?" katanya.
Sebelum ini, isu kutipan Tabung Solidariti Najib Razak yang meningkat daripada RM9.25 juta kepada RM50 juta dalam tempoh 40 hari mencetuskan persoalan mengenai ketelusan sumber dana serta mekanisme pemantauan sumbangan politik di negara ini.
Perkembangan itu turut membawa kepada desakan beberapa pihak supaya siasatan dijalankan bagi memastikan sumber dana yang diterima tidak melibatkan unsur rasuah, pengubahan wang haram atau kepentingan tertentu.
Antara yang membangkitkan perkara tersebut ialah Datuk A Kadir Jasin yang berpendapat kutipan puluhan juta ringgit dalam tempoh singkat memerlukan penjelasan lebih terperinci.
Beliau turut menggesa agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) meneliti aliran dana berkenaan.