Pengampunan Najib: 'Pertimbangan Hannah atas kapasiti menteri atau ikut PH?'

Iklan
Syed Mohd Johan Rizal, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin UMNO mempersoalkan sama ada pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat atas pertimbangan bebas sebagai menteri atau dipengaruhi pendirian politik Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Hannah sebelum ini menjelaskan pandangannya disampaikan secara jujur, berterus terang, berlandaskan hati nurani serta selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara.

Iklan
Iklan

“Persoalannya, adakah beliau membuat pertimbangan bebas selaku Menteri Wilayah Persekutuan atau membawa pendirian politik DAP dan PH?

Syed Mohd Johan berkata, persoalan berkenaan timbul susulan pendirian Majlis Setiausaha PH sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan yang menyatakan individu yang disabitkan dalam kes rasuah atau salah guna kuasa berprofil tinggi perlu menjalani hukuman sepenuhnya.

Iklan

Menurutnya, walaupun Najib tidak disebut secara khusus, waktu kenyataan itu dikeluarkan menimbulkan persoalan sama ada pendirian politik telah dibentuk lebih awal.

"Hati nurani ialah perkara peribadi.

Iklan

"Akan tetapi jawatan menteri ialah amanah awam," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan secara terbuka dakwaan bahawa jentera komunikasi kerajaan cenderung mengulangi naratif PH.

Syed Mohd Johan menegaskan persoalan itu tidak bermaksud mempertikaikan kewenangan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan Tuanku kita junjung.

Pada 11 September lalu, BHEUU memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Seri Paduka Baginda dan turut dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan permohonan pengampunan Najib dibuat berdasarkan prinsip negara hukum, Perlembagaan dan nasihat berkaitan.

Selain itu, Anwar menegaskan perkara berkenaan merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan.