KOTA BHARU – Jalur Gemilang sepanjang 6.9 meter, simbolik 69 tahun kemerdekaan yang dijahit sendiri oleh jemaah Masjid Mukim Jembal Tok Ku di sini menyemarakkan lagi semangat patriotik komuniti setempat.
Imam Tua Masjid Mukim Jembal Tok Ku, Ahmad Taqiyuddin Mohd Saleh berkata, penghasilan Jalur Gemilang itu merupakan antara inisiatif sambutan penutup Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2026 yang julung kali dianjurkan pihak masjid.
Menurutnya, bendera berkenaan dijahit oleh jemaah wanita masjid menggunakan mesin jahit dan disiapkan dalam tempoh sehari.
“Jalur Gemilang ini dijahit bersama-sama jemaah wanita dan menjadi antara simbolik sambutan yang kita adakan,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, program tersebut turut menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada komuniti setempat, termasuk penyertaan dalam perarakan basikal berhias bertemakan Merdeka sejauh 3.3 kilometer.
“Penyertaan datang daripada penduduk di sembilan kampung dan kita berharap aktiviti ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Profesor Dr Arham Abdullah yang hadir merasmikan program berkata, kerjasama antara universiti, agensi dan komuniti penting dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Menurutnya, Masjid Mukim Jembal Tok Ku merupakan Masjid Angkat Madani UMK yang menjadi wadah kerjasama universiti bersama masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Masjid merupakan satu tempat untuk mengumpulkan masyarakat bersama-sama dan aktiviti seperti ini menunjukkan kolaborasi antara universiti, agensi serta masyarakat bergabung tenaga untuk menyemarakkan semangat Kemerdekaan.
“Di UMK, kami melaksanakan pelbagai aktiviti bersama masjid, termasuk penambahbaikan fasiliti dan program kemasyarakatan,” katanya.
Program sambutan tersebut turut diserikan dengan pertandingan mewarna, melukis poster selain penyertaan Rukun Tetangga, Bomba Sukarelawan Kota Jembal dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).