AS nasihat rakyat pertimbang semula perjalanan ke Arab Saudi

Iklan
Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya. Foto: Agensi

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya supaya mempertimbangkan semula perjalanan ke Arab Saudi susulan peningkatan risiko keselamatan di negara itu.

Nasihat perjalanan tersebut dikeluarkan selepas Riyadh mengaktifkan amaran keselamatan di Makkah dan beberapa kawasan lain susulan serangan Huthi.

Iklan
Iklan

Menurut nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada Selasa, Washington memberi amaran mengenai risiko serangan dron dan peluru berpandu Iran yang menyasarkan kepentingan AS, selain konflik bersenjata serta ancaman keganasan.

Amaran itu turut mengambil kira risiko sekatan keluar dari Arab Saudi dan undang-undang tempatan berkaitan aktiviti di media sosial.

Iklan

“Pertimbangkan semula perjalanan ke Arab Saudi berikutan risiko serangan dron dan peluru berpandu Iran yang menyasarkan kepentingan Amerika, konflik bersenjata, keganasan, sekatan keluar serta undang-undang tempatan berkaitan aktiviti media sosial,” menurut nasihat tersebut.

Washington pada masa sama memberi amaran lebih tegas supaya rakyatnya tidak melakukan perjalanan ke kawasan sempadan Arab Saudi-Yemen berikutan ancaman keganasan.

Iklan

Jabatan Negara AS meletakkan Arab Saudi pada Tahap 3 iaitu ‘Pertimbangkan Semula Perjalanan’, manakala kawasan sempadan Yaman dikategorikan Tahap 4 atau ‘Jangan Melakukan Perjalanan’.

Menurut Washington, serangan dron dan peluru berpandu sebelum ini menyasarkan bandar, infrastruktur, lapangan terbang, pangkalan tentera serta kemudahan diplomatik dan tenaga di Arab Saudi.

Rakyat AS yang berada berhampiran infrastruktur tenaga dan pangkalan tentera turut diberi amaran mengenai risiko keselamatan yang lebih tinggi, khususnya di kawasan berhampiran sempadan Yemen. - Agensi