KUALA LUMPUR -"Ramai orang ingin melihat aku jatuh. Mereka menunggu saat aku lemah dan berharap aku gagal, bahkan mungkin merasa bahagia ketika melihat aku terluka."
Demikian antara bait-bait ayat di dalam perkongsian pempengaruh media sosial, Aisar Khaledd di Instagram pada Selasa selepas dirinya didakwa melakukan penipuan dan pengubahan wang sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Aisar berkata, dia percaya rakyat Indonesia tetap merasa gembira dengan keberadaannya di negara itu meskipun ribuan masyarakat bahkan warganegara Malaysia membencinya.
Menurut Aisar, niatnya cuma ingin berkongsi rezeki dan kebahagiaan di Indonesia.
"Terluka bukan bererti kalah. Aku mungkin boleh dipatahkan, tetapi aku akan selalu mencari cara untuk bangkit kembali.
"Aku cuma anak Malaysia yang ingin berkongsi kebahagiaan di Indonesia," tulisnya.
Isnin lalu, media Indonesia Tribunnews.com melaporkan bahawa Aisar dikaitkan dengan dakwaan penipuan membabitkan wang bernilai sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Laporan polis dibuat ke Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) selepas Aisar didakwa gagal memberikan maklum balas terhadap tiga notis tuntutan yang dikemukakan wakil sebuah syarikat.
Peguam syarikat terbabit, Machi Achmad berkata, laporan dibuat mengikut beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).
Menurut Machi, tiga notis tuntutan telah dihantar kepada Aisar, namun pihaknya mendakwa tidak menerima sebarang jawapan atau maklumat mengenai keberadaan pempengaruh terbabit.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Michael Sugijanto memaklumkan, pertikaian tersebut berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat berkenaan.
Tambah beliau, terdapat baki kewajipan yang masih belum diselesaikan Aisar kira-kira RM1.3 juta.