MENGUNJUNGI Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) terbesar yang telah berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September yang lalu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang ibarat menelusuri sebuah pesta ilmu dan inovasi pertanian negara.
Di setiap sudut, ada cerita yang ingin disampaikan. Ada teknologi baharu yang ingin diperkenalkan. Ada kejayaan yang mahu diraikan. Ada juga slogan-slogan yang cuba menarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang.
Dalam lautan visual dan mesej yang memenuhi kawasan pameran itu, langkah saya terhenti di Galeri Bernas di Laman Padi. Bukan kerana saiznya. Bukan juga kerana teknologi yang digunakan. Namun ada satu perkataan yang serta-merta menarik perhatian saya - Bukan monopoli.
Perkataan itu terpampang besar. Ringkas. Provokatif. Dan terus mencetuskan persoalan dalam fikiran saya. Mengapa perlu ditegaskan"bukan monopoli"?
Sebagai wartawan, tajuk menarik sebegini mesti mengundang rasa ingin tahu. Malah sering kali jika ada isu besar melibatkan beras pasti akan ada pihak mengaitkannya dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Daripada hanya melihat sebuah pameran korporat, saya menghabiskan masa menelusuri satu perjalanan penceritaan tentang sesuatu yang jarang sekali kita fikirkan ketika menikmati sepinggan nasi di meja makan.
Galeri ini tidak bermula dengan angka, data atau pencapaian organisasi. Sebaliknya ia bermula dengan satu persoalan yang sangat dekat dengan kehidupan rakyat: Apa akan berlaku jika beras tiada?
Daripada situ, saya dibawa menelusuri kisah bagaimana krisis makanan dunia era 1970-an membuka mata banyak negara, termasuk Malaysia bahawa bekalan makanan ruji tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada nasib dan pasaran.
Penceritaan disusun di galeri ini membawa pengunjung memahami perjalanan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada 1971, proses transformasinya sehingga kewujudan BEernas hari ini sebagai sebahagian sistem diwujudkan untuk menyokong keterjaminan makanan negara.
Apa yang saya hargai, galeri ini tidak memerlukan jurucakap untuk menerangkan setiap sudutnya. Gambar-gambar, visual interaktif dan naratif yang dipaparkan sudah cukup menyampaikan mesej ingin dibawa.
Saya percaya ramai pengunjung lain juga memperoleh pengalaman yang sama. Mereka tidak dipaksa menerima sesuatu pandangan, sebaliknya diajak memahami mengapa sistem itu diwujudkan.
Di sinilah saya kembali kepada perkataan yang mula-mula menarik perhatian saya tadi. “Bukan monopoli.”
Apabila diterangkan dalam konteks galeri, ia bukan tentang mengawal pasaran seperti yang sering diperdebatkan. Ia dijelaskan sebagai satu mekanisme penyelarasan bekalan import bagi memastikan keperluan negara dipenuhi tanpa mengabaikan kepentingan pengeluaran tempatan.
Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan model yang digunakan, itu perbahasan yang berasingan. Tetapi sebagai pengunjung, saya mengakui galeri ini berjaya menjelaskan logik di sebalik kewujudan satu gerbang import dan mengapa isu bekalan beras tidak boleh dilihat secara hitam putih.
Lebih menarik, galeri ini turut mengingatkan keterjaminan makanan bukan semata-mata soal beras mencukupi dalam gudang. Ia tentang memiliki pelbagai sumber apabila berlaku sekatan eksport, cuaca buruk, konflik geopolitik atau gangguan rantaian bekalan global.
Kita sering hanya menyedari kewujudan sistem apabila sistem itu gagal. Selagi beras mudah diperoleh, rak pasar raya penuh dan harga kekal stabil, kebanyakan kita jarang memikirkan apa berlaku di belakang tabir.
Hakikatnya ada ekosistem panjang sedang bekerja setiap hari, daripada pesawah, pengilang, pengangkut, penyimpan stok, pengedar hingga pembuat dasar. Mungkin itu kekuatan sebenar Galeri Bernas. Ia bukan sekadar bercerita tentang sebuah syarikat.
Ia membuka perbualan lebih besar tentang keterjaminan makanan negara, satu isu yang sering dianggap biasa kerana masyarakat hanya melihat hasil akhirnya. Sedangkan di sebalik sebutir beras, terdapat sebuah ekosistem yang perlu sentiasa bersedia menghadapi ketidaktentuan dunia.
Syabas kepada Bernas kerana berani membawa kisah yang selama ini banyak berlaku di belakang tabir ke ruang awam. Bukan untuk meminta penghargaan, tetapi untuk memberi kefahaman.
Kerana kadangkala perkara paling penting dalam kehidupan kita ialah perkara paling kurang kita ambil tahu. Sehinggalah suatu hari ia tiada.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian