JEREBU yang semakin memburuk di kebanyakan kawasan di negara ini bukan lagi sekadar menjejaskan pemandangan, malah ia turut menjadi amaran serius terhadap tahap kesihatan awam dan keberkesanan pengurusan alam sekitar.
Mana tidaknya, bangunan pencakar langit yang lazimnya menjadi mercu tanda kemajuan bandar kini seolah-olah hilang daripada mata kasar, manakala jarak penglihatan menjadi terhad sehingga menyusahkan orang ramai lebih-lebih lagi pengguna jalan raya.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) setakat kemas kini petang Selasa, hanya satu kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sihat iaitu Kota Kinabalu, Sabah.
Selain itu, 67 kawasan lain berada pada tahap sederhana dan tidak sihat.
Angka tersebut memperlihatkan betapa meluas kesan jerebu yang sedang dihadapi, sekali gus menuntut tindakan lebih tersusun daripada kerajaan, bukan sekadar mengeluarkan nasihat berulang kepada orang awam.
Atas dasar itu, operasi pembenihan awan sekali lagi diperlukan selepas ia dijalankan di Sarawak pada minggu lalu.
Difahamkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sedang dalam usaha berunding dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat.
Keadaan 'langit kelabu' ini sepatutnya menjadi peringatan bahawa pencemaran udara bukan masalah bermusim yang boleh ditangani apabila situasi bertambah buruk sahaja.
Kerjasama antara agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa negeri mesti diperkukuhkan, selain peningkatan perkongsian maklumat dengan negara jiran jika pencemaran rentas sempadan dikenal pasti.
Dalam masa sama, langkah perlindungan rakyat perlu diperkasakan juga.
Sekolah, majikan dan penganjur aktiviti luar wajar menjadikan bacaan IPU sebagai asas dalam membuat keputusan harian, khususnya bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang menghidap masalah pernafasan dan jantung.
Penggunaan pelitup muka, pengurangan aktiviti luar dan penyediaan ruang dalaman dengan pengudaraan serta penapisan udara yang baik perlu digalakkan.
Jerebu bukan sekadar langit kelihatan kelabu, tetapi krisis yang menguji tentang kesungguhan semua pihak dalam melindungi hak rakyat untuk menghirup udara bersih.