Sembelih kambing atas pentas disangka ritual puja syaitan

Iklan
Peserta acara itu turut mengenakan kostum menyeramkan selain memaparkan beberapa simbol bertentangan dengan ajaran Islam. - Foto Agensi

PEKALONGAN – Persembahan luar biasa dalam Simbang Kulon Night Carnaval (SKNC) Pekalongan di Jawa Tengah, Indonesia mengundang kontroversi selepas peserta mempamerkan adegan penyembelihan kambing yang didakwa menyerupai ritual pemujaan syaitan.

Acara itu merupakan sebahagian daripada sambutan Maulidur Rasul dan khatan beramai-ramai ke-61 di Simbang Kulon.

Iklan
Iklan

Rakaman karnival itu tular di media sosial selepas memaparkan peserta mengenakan kostum menyeramkan selain memaparkan beberapa simbol bertentangan dengan ajaran Islam.

Aksi menyembelih kambing di atas pentas turut meraih perhatian ramai kerana dianggap keterlaluan untuk majlis tersebut.

Iklan

Ketua Panitia SKNC 2026, Mahsun bagaimanapun menafikan kambing tersebut digunakan sebagai 'korban persembahan' atau sebahagian daripada ritual tertentu.

Menurutnya, kambing itu sememangnya dirancang untuk disembelih bagi tujuan makan bersama selepas acara selesai

Iklan

Wakil peserta, Muhammad Akhid menjelaskan penyembelihan itu dilakukan mengikut syariat dan daging kambing berkenaan kemudiannya dimasak untuk jamuan bersama.

"Kepala kambing yang dipamerkan dalam keranda bukan kepala haiwan yang disembelih, sebaliknya dibeli berasingan," ujarnya sambil menambah mereka tidak menyedari konsep persembahan tersebut ada persamaan dengan simbol atau ritual pemujaaan syaitan.

Jelasnya, idea berkenaan diperoleh daripada beberapa persembahan karnival di Malang dan Magelang menerusi YouTube yang dianggap unik manakala kostum pula disewa dari Malang.

Susulan kecaman orang ramai, pihak peserta bertindak memohon maaf atas keterlanjuran mereka.

Sementara itu, Plt Bupati Pekalongan, Sukirman, berkata beliau hadir ke acara tersebut sebagai ketua daerah namun tidak dimaklumkan mengenai konsep persembahan yang disifatkan sebagai kejutan oleh peserta. - Agensi