PRN Melaka boleh jadi medan ujian kerjasama UMNO-Pas - Sanusi

Iklan
Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berpandangan rundingan kerjasama politik akan menjadi lebih mudah sekiranya UMNO bersedia memberi ruang kepada Pas untuk bertanding beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut beliau, pendekatan itu boleh dijadikan asas kepada rundingan yang lebih luas melibatkan negeri-negeri lain, termasuk empat negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Iklan
Iklan

“Melaka akan menjadi medan ujian untuk mereka. Saya sudah cadangkan perkara itu. Tidak bolehlah melihat Melaka semata-mata sebagai medan rundingan dalam konteks yang sempit.

“Bukalah ruang yang lebih luas, barulah mudah untuk berunding. Saya harap cadangan itu dapat diterima.

Iklan

“Kalau esok mereka datang ke Kedah, Kelantan atau Terengganu, sudah tentu mereka juga mahukan kerusi. Jadi, berilah empat kerusi di Melaka. Mungkin negeri-negeri ini boleh menggantikannya semula. Contohnya, Kedah satu kerusi, Kelantan satu, Terengganu satu dan Perlis satu. Sebab itu saya kata rundingan perlu dilihat dalam skop yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Kedah Young Leadership Development Program di sini pada Sabtu.

Iklan

Muhammad Sanusi mengulas cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan salah sebuah negeri SG4 dijadikan medan menguji keikhlasan kerjasama politik antara parti-parti Melayu.

Menurutnya, rundingan kerjasama tidak seharusnya tertumpu kepada Melaka semata-mata, sebaliknya perlu dilihat secara lebih menyeluruh bagi memberi ruang kepada semua pihak mencapai persefahaman.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu bagaimanapun menyifatkan cadangan menjadikan PRN di salah sebuah negeri SG4 sebagai ukuran keikhlasan kerjasama politik sebagai sesuatu yang kurang munasabah.

“Kalau mereka kata mahu menguji keikhlasan kita dengan mengadakan PRN di Terengganu, saya rasa itu tidak masuk akal.

“Ia tidak bersambung dengan realiti politik sebelum ini kerana mereka juga tidak pernah memberikan kerusi kepada kita. Apa yang berlaku ialah rundingan dan sokongan terhadap calon masing-masing ketika pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa usaha memperkukuh perpaduan ummah memerlukan sikap bertolak ansur serta kesediaan semua pihak untuk berkompromi.

Menurut beliau, usaha penyatuan parti-parti Melayu juga perlu melibatkan lebih banyak pihak dan tidak terhad kepada dua parti sahaja.

“Pas berpegang kepada pendirian ini sejak dahulu lagi. Libatkan semua pihak yang mahukan perpaduan ummah.

“Jangan hanya melibatkan dua pihak dan mengetepikan yang lain. Pendekatan seperti itu hanya akan menyempitkan ruang perpaduan,” katanya.

Pertemuan santai dengan UMNO Kedah

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi memaklumkan beliau dijadual mengadakan pertemuan santai bersama kepimpinan UMNO Kedah pada petang Selasa.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu, pertemuan berkenaan dijangka membabitkan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Hari ini jumpa dengan UMNO Kedah secara tidak rasmi, minum kopi dan berbual-bual. Apa tajuk perbincangan pun saya belum tahu lagi.

“Soal pembahagian kerusi adalah di peringkat Pas Pusat, bukan negeri. Peringkat negeri tidak mempunyai prerogatif untuk menentukan kerusi.

“Kita di sini hanya berbincang dan membawa pandangan itu ke peringkat pusat. Tiada keputusan dibuat di peringkat negeri, cuma kita boleh bertukar pandangan,” katanya.