KULIM - Kesemua empat jenazah kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh longkang semasa mengambil bola di Taman Desa Kayangan, di sini selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, petang Selasa.
Pengebumian disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Nurul Ehsan, Sungai Karangan dekat sini, selesai kira-kira jam 5.45 petang.
Sebelum itu, tiga jenazah kanak-kanak yang selesai bedah siasat dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar ke Surau Taman Desa Kayangan sekitar jam 3.30 petang untuk memberi peluang kepada saudara dan rakan memberikan penghormatan terakhir.
ARTIKEL BERKAITAN:Ambil bola dalam longkang, polis sahkan empat kanak-kanak meninggal dunia
4 budak maut: Tak sempat beli kasut bola sepak, bapa hilang dua anak serentak
Dua kanak-kanak lemas dalam longkang, dua lagi dikejarkan ke hospital
'Sudah Maghrib adik belum pulang, jumpa hanya jasad'
Mereka ialah Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, dan rakan, Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
Sementara, seorang lagi jenazah, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dibawa dari HSB ke rumah keluarganya di Kampung Baru Gajah Merangkak dekat sini.
Kesemua jenazah kemudiannya tiba di Masjid Jamek Nurul Ehsan sebelum Asar untuk disolat dan dikebumikan.
Terdahulu, empat kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai ketika cuba mengambil bola di Taman Desa Kayangan.