Tukang masak maut selepas basikal dipercayai langgar penutup longkang

Iklan
Seorang tukang masak maut selepas basikal yang ditunggangnya dipercayai terlanggar penutup longkang sebelum terjatuh sendiri di Bukit Beruang di sini, semalam - Foto hiasan

MELAKA - Seorang tukang masak maut selepas basikal yang ditunggangnya dipercayai terlanggar penutup longkang sebelum terjatuh sendiri di Bukit Beruang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, dalam kejadian kira-kira pada 7.10 malam mangsa berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan pada muka dan kepala.

Iklan
Iklan

"Mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia kira-kira 9 malam ketika sedang menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang basikal dari arah Jalan Dahlia 6 menuju ke persimpangan Jalan Dahlia 2 dan Jalan Dahlia 7.

Iklan

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, tayar hadapan basikal dipercayai terlanggar penutup longkang menyebabkan mangsa terjatuh.

Katanya basikal berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian pemegang dan siasatan di tempat kejadian mendapati kenderaan terlibat telah dialihkan dari lokasi sebenar kemalangan.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan, katanya. - Bernama