APABILA menyebut tentang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tanggapan umum sering kali terarah kepada latihan ketenteraan, strategi peperangan, dan teknologi persenjataan.
Namun, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang menggalas mandat keselamatan negara, UPNM memahami bahawa landskap ancaman global masa kini telah berubah secara drastik.
Keselamatan hari ini bukan lagi sekadar sempadan fizikal, tetapi ia merangkumi ketahanan minda, kestabilan sosial, dan kelestarian kemanusiaan.
Atas kesedaran inilah, Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan (FPPP) UPNM telah mengorak langkah strategik dengan menganjurkan 18th International Conference on Humanities and Social Sciences (ICHISS 2026) secara bersama dengan Faculty of Liberal Arts, Prince of Songkla University (PSU), Thailand.
Persidangan yang berlangsung pada 15 September 2026 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur ini telah membuka satu lagi lembaran dalam sejarah akademik universiti.
Sebagai Naib Canselor, saya melihat penganjuran persidangan ini sebagai satu manifestasi kejayaan UPNM dalam memecahkan kepompong tradisi.
Walaupun UPNM ialah sebuah universiti awam dengan niche pertahanan dan keselamatan, ICHISS 2026 telah membuktikan keterlihatan (visibility) dan daya tarikan UPNM di persada antarabangsa.
Persidangan ini bukan sahaja menghimpunkan cendiakawan dari UPNM dan PSU, malah berjaya menarik penyertaan pakar, penyelidik, dan pembentang dari pelbagai negara luar yang melangkaui sempadan Malaysia dan Thailand.
Kepelbagaian wacana: Dari geopolitik ke kesejahteraan sosial
Kejayaan sebenar persidangan ini terletak pada kepelbagaian tajuk perbincangan yang dibentangkan, yang secara langsung mencerminkan ekosistem keselamatan komprehensif.
Melalui penelitian jadual pembentangan ICHISS 2026, kita dapat melihat gabungan dinamik antara isu pertahanan keras (hard security) dan keselamatan bukan tradisional (non-traditional security).
Sebagai contoh, persidangan ini mengupas isu-isu kritikal serantau seperti perkongsian keselamatan sempadan Malaysia-Thailand dalam membanteras penyeludupan dadah, serta strategi kelangsungan keselamatan maritim di Indo-Pasifik.
Pada masa yang sama, wacana ini diperluaskan kepada ancaman moden seperti risiko siber dalam sektor air di Malaysia, peperangan informasi dan kecerdasan buatan (AI), serta kepincangan algoritma dalam sistem pengawasan wajah (facial surveillance).
Lebih membanggakan, ruang wacana ini turut merangkumi isu-isu sains sosial dan kemanusiaan dari pelbagai negara, seperti analisis pilihan raya serantau di Jawa Timur, Indonesia, pembangunan lestari dalam puisi Arab di Nigeria, sehinggalah kepada isu kesihatan mental dan kesejahteraan golongan terpinggir di Pakistan.
Kepelbagaian ini membuktikan bahawa UPNM kini diiktiraf sebagai hab intelektual yang mampu menghimpunkan pemikir global bagi menyelesaikan isu-isu kemanusiaan sejagat.
Peranan unik UPNM
Di sinilah letaknya perbezaan ketara antara peranan UPNM berbanding universiti awam yang lain. Di universiti awam biasa, fokus utama mungkin tertumpu kepada pencapaian akademik dan kebolehpasaran graduan.
Namun di UPNM, tanggungjawabnya adalah serampang dua mata: memastikan kecemerlangan akademik bertaraf dunia, sambil memupuk doktrin ketahanan nasional dalam setiap urat nadi penyelidikan yang dijalankan.
Sebagai seorang pegawai kanan tentera yang memimpin institusi akademik, pendekatan saya menggabungkan ketegasan strategik ketenteraan (military strategic rigour) dengan kebebasan intelektual (intellectual freedom).
Apabila UPNM menganjurkan persidangan berskala antarabangsa seperti ICHISS 2026, kita tidak sekadar membentangkan kertas kerja untuk tujuan penerbitan.
Kita sedang mengumpul perisikan akademik (academic intelligence), membina diplomasi pertahanan (defence diplomacy) melalui jaringan sarjana, dan mencari solusi tuntas kepada ancaman hibrid yang bakal dihadapi oleh negara dan rantau ini.
Kerjasama dengan Prince of Songkla University ini adalah contoh terbaik Track II Diplomacy, di mana hubungan dua hala antara negara diperkukuhkan melalui saluran akademik dan pertukaran budaya pemikiran.
Keterlihatan UPNM hari ini tidak lagi terhad di padang kawad atau di kem-kem tentera. Nama UPNM kini meniti di bibir para sarjana antarabangsa di dewan-dewan persidangan.
ICHISS 2026 membuktikan bahawa sains sosial dan kemanusiaan adalah tunjang penting dalam melahirkan pakar strategik dan pemimpin keselamatan yang holistik.
UPNM akan terus memacu ke hadapan. Kami bukan sekadar melahirkan graduan yang tahu memegang senjata, tetapi kami melahirkan pemimpin intelek yang mampu menggunakan akal, ilmu, dan empati sebagai perisai paling ampuh untuk mempertahankan keamanan dunia.
* Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad ialah Naib Canselor, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)