SUDAH dua kali, iaitu pada 2018 dan 2022, Pakatan Harapan (PH) menerajui pentadbiran negara. Dalam kedua-dua episod tersebut, muncul kegelisahan dalam kalangan sebahagian masyarakat, khususnya orang Melayu, terhadap beberapa pendekatan politik PH yang dilihat menyentuh sensitiviti hubungan kaum, kedudukan Islam dan keseimbangan politik yang telah lama terbina.
Keadaan ini menyebabkan wacana penyatuan ummah kembali mendapat perhatian, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Namun, penyatuan yang sering dibicarakan seolah-olah hanya merujuk kepada kerjasama elektoral antara Pas dan UMNO untuk memenangi pilihan raya serta mengambil alih pentadbiran daripada PH.
Tidak dinafikan bahawa Pas dan UMNO merupakan dua kekuatan utama politik Melayu-Islam dan sewajarnya menjadi paksi penting kepada usaha penyatuan.
Namun, jika matlamatnya ialah membina kestabilan politik yang lebih berkekalan, gagasan tersebut perlu diperluaskan dengan menghimpunkan seluruh kekuatan Melayu-Islam serta merangkul parti dan masyarakat bukan Melayu yang sederhana, menghormati Perlembagaan dan menolak politik ekstrem.
Penyatuan Melayu-Islam juga perlu menoktahkan salah faham bahawa ia bertujuan meminggirkan masyarakat bukan Melayu.
Melayu yang kuat tidak memerlukan kaum lain menjadi lemah. Sebaliknya, kestabilan politik Melayu-Islam sebagai kelompok majoriti boleh menjadi asas kepada pemerintahan yang lebih stabil dan adil kepada seluruh rakyat.
Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu, kepentingan Melayu dan Bumiputera serta hak sah masyarakat lain telah mempunyai tempat dalam kerangka Perlembagaan.
Justeru, penyatuan yang dibina mestilah mempertahankan keseimbangan ini. Pas dan UMNO boleh menjadi paksi penyatuan, tetapi tidak seharusnya menjadi sempadan akhirnya.
Sejarah membuktikan kekuatan penyatuan
Keperluan kepada penyatuan ini bukan sesuatu yang baharu. Sejarah negara memberikan pengajaran yang cukup jelas. Tragedi 13 Mei 1969 mendorong kepimpinan negara menilai kembali kesan perpecahan politik dan ketegangan masyarakat.
Apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih kepimpinan negara, beliau melihat kestabilan pasca-13 Mei memerlukan kerjasama politik yang lebih luas.
Di pihak Pas pula, Datuk Mohd Asri Muda menunjukkan keberanian untuk membuka ruang perundingan dengan seteru politik demi kepentingan yang lebih besar.
Keterbukaan kedua-dua kepimpinan tersebut akhirnya membawa kepada pembentukan Kerajaan Campuran Pas–Perikatan pada 1973 sebelum Pas menyertai Barisan Nasional pada 1974.
Kerjasama itu tidak menyebabkan Pas kehilangan identitinya. Pas kekal Pas dan UMNO kekal UMNO. Apa yang dibina ialah persefahaman terhadap perkara yang boleh disepakati bersama tanpa menghapuskan perbezaan prinsip dan identiti masing-masing.
PRU 1974 kemudiannya memperlihatkan kekuatan formula tersebut apabila Barisan Nasional memperoleh 135 daripada 154 kerusi Parlimen. Penyatuan politik bukan sahaja mengurangkan pertembungan sesama kekuatan Melayu-Islam, malah mewujudkan kestabilan yang lebih besar kepada kerajaan.
Dalam tempoh kerjasama itu juga, pemimpin Pas diberikan ruang dalam pentadbiran negara dan pelbagai perkembangan berkaitan institusi dakwah, pendidikan serta pentadbiran Islam berlaku.
Walaupun tidak semua perkembangan tersebut boleh dikaitkan dengan Pas semata-mata, pengalaman itu tetap membuktikan satu hakikat penting: apabila cita-cita perjuangan bertemu dengan kuasa pentadbiran, ruang untuk menterjemahkan prinsip kepada dasar menjadi lebih luas.
Perpecahan Melayu-Islam semakin mahal harganya
Pengajaran sejarah tersebut semakin relevan dalam landskap politik hari ini, khususnya apabila dilihat melalui sistem pilihan raya first-past-the-post yang diamalkan Malaysia.
Dalam sistem ini, calon yang memperoleh undi terbanyak memenangi sesuatu kerusi. Apabila beberapa parti yang berkongsi kelompok pengundi yang hampir sama bertanding sesama sendiri, perpecahan undi boleh menyebabkan pihak lain memperoleh kemenangan.
Justeru, perpecahan politik Melayu-Islam bukan lagi semata-mata persoalan hubungan PAS dengan UMNO. Implikasinya jauh lebih besar kerana ia mempengaruhi keupayaan masyarakat Melayu-Islam menterjemahkan kekuatan demografi kepada pengaruh dalam pembentukan dasar dan pentadbiran negara.
Namun, penyatuan tidak boleh dibina atas ketakutan atau permusuhan terhadap kaum lain. Pendekatan sedemikian mungkin memberikan keuntungan politik jangka pendek, tetapi akhirnya melemahkan legitimasi penyatuan itu sendiri.
Sebaliknya, penyatuan yang kukuh mestilah mampu memberikan jaminan kepada orang Melayu bahawa Islam dan kepentingan mereka akan terus dipertahankan, sambil meyakinkan masyarakat bukan Melayu bahawa hak, keselamatan dan peluang mereka sebagai warganegara tetap dilindungi secara adil.
Inilah penyatuan yang mempunyai kemampuan untuk memerintah, bukan sekadar kemampuan untuk menang.
Muafakat Nasional: Jangan ulangi kesilapan
Atas sebab itu, pengalaman Muafakat Nasional perlu dijadikan pengajaran. Penyatuan Pas–UMNO pernah membangkitkan harapan besar di peringkat akar umbi, tetapi akhirnya tidak berkembang sebagaimana yang diharapkan.
Sejarah terdahulu turut memberikan peringatan serupa. Kerjasama Pas–UMNO yang menghasilkan kekuatan politik pada 1974 akhirnya retak apabila perbezaan dan krisis hubungan antara rakan gabungan gagal diurus dengan baik. Kesannya cukup besar kepada Pas dalam PRN Kelantan 1978.
Pengajarannya jelas: membina penyatuan itu sukar, tetapi mempertahankannya jauh lebih mencabar.
Sebab itulah penyatuan baharu tidak boleh bergantung semata-mata pada hubungan baik antara beberapa pemimpin atau keperluan menghadapi pilihan raya.
Ia memerlukan mekanisme perundingan yang jelas, persefahaman dasar, kaedah menyelesaikan pertikaian dan penghormatan terhadap autonomi setiap rakan.
Persoalan kerusi dan jawatan pasti akan muncul, tetapi jika penyatuan bermula dan berakhir dengan persoalan “berapa kerusi untuk parti kita?”, maka penyatuan itu telah kehilangan matlamat besarnya.
Paling penting, penyatuan menuntut semua pihak berlapang dada. Pas tidak perlu menjadi UMNO dan UMNO tidak perlu menjadi Pas.
Perbezaan sejarah, pendekatan dan pemikiran boleh terus wujud. Yang diperlukan ialah kebijaksanaan membezakan antara prinsip yang tidak boleh dikompromikan dengan perbezaan politik yang masih boleh dirundingkan demi kepentingan yang lebih besar.
Penyatuan sebagai agenda kenegaraan
Atas kesedaran tersebut, penyatuan ummah perlu diangkat daripada sekadar strategi pilihan raya kepada agenda kenegaraan.
Pintu penyatuan perlu terbuka kepada seluruh kekuatan Melayu-Islam yang bersedia mencari titik persamaan.
Pada masa yang sama, kerjasama perlu diperluaskan kepada parti dan masyarakat bukan Melayu yang sederhana, menghormati Perlembagaan, memahami kedudukan Islam serta menerima realiti masyarakat majmuk Malaysia.
Kebimbangan masyarakat bukan Islam terhadap politik berteraskan Islam pula tidak memadai dijawab melalui slogan.
Ia perlu dijawab melalui prestasi pemerintahan: pentadbiran yang bersih, ekonomi yang berkembang, kebajikan rakyat yang terpelihara, rasuah yang diperangi serta keadilan yang dapat dirasai oleh semua kaum.
Islam perlu diperlihatkan melalui hasil pemerintahannya, bukan sekadar didengar melalui retorik politiknya. Apabila keyakinan ini berjaya dibina, penyatuan ummah tidak lagi hanya menjadi agenda orang Melayu, tetapi boleh berkembang menjadi asas kestabilan nasional.
Sejarah telah membuktikan bahawa penyatuan mempunyai kekuatan yang besar, manakala perpecahan membawa harga yang mahal.
Oleh itu, penyatuan yang hendak dibina hari ini mesti melangkaui Pas dan UMNO. Ia perlu menyatukan kekuatan Melayu-Islam, merangkul bukan Melayu yang sederhana, mengembalikan kestabilan politik dan membentuk pemerintahan yang adil kepada seluruh rakyat.
Semua pihak perlu menyedari bahawa kuasa hanyalah wasilah, bukan matlamat akhirnya. Penyatuan bukan semata-mata untuk menawan Putrajaya.
Matlamat yang lebih besar ialah memastikan kuasa yang diperoleh digunakan untuk menjaga Islam, mempertahankan kepentingan Melayu, berlaku adil kepada bukan Melayu serta membina Malaysia yang stabil, bermaruah dan sejahtera.
Di situlah cabaran sebenar penyatuan: ia memerlukan jiwa besar untuk dimulakan, kebijaksanaan untuk dimanfaatkan dan keikhlasan untuk dipertahankan.
* Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi), Yayasan Strategik Lestari, Pemerhati Politik