RIYADH - Arab Saudi menemui kira-kira 110 juta tan bijih yang mengandungi mineral nadir bumi dan uranium di wilayah Madinah.
Pengumuman itu dibuat Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz Salman pada sesi Ke-70 Persidangan Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Penemuan itu diumumkan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Saudi memeterai kerjasama tenaga nuklear awam menerusi perjanjian ditandatangani oleh Setiausaha Tenaga, Chris Wright dan Putera Abdulaziz pada 22 Julai lalu.
"Ia dikenal pasti menerusi kajian penerokaan dan geologi di kawasan Jabal Sayid yang menunjukkan kepekatan tinggi unsur nadir bumi serta kandungan uranium yang berpotensi," ujar Putera Abdulaziz.
Menurut analisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) berdasarkan data Kementerian Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi serta syarikat perlombongan milik kerajaan, Maaden, kawasan itu dipercayai merupakan deposit mineral nadir bumi keempat terbesar di dunia.
Ia mengandungi kira-kira 552,000 tan mineral nadir bumi berat termasuk disprosium dan terbium serta kira-kira 355,000 tan mineral nadir bumi ringan seperti neodimium dan praseodimium.
Analisis sama turut menganggarkan kawasan tersebut mempunyai kira-kira 31,000 tan sumber uranium. Gabungan kekayaan mineral itu dilihat memberi kelebihan strategik kepada Saudi untuk membangunkan kitaran bahan api nuklearnya sendiri selain membuka peluang mengeksport bahan tersebut ke AS.
Dalam perkembangan berkaitan, Saudi Press Agency (SPA) melaporkan nilai penemuan unsur nadir bumi di negara itu mencecah AS$100 bilion (RM407 bilion) pada November 2025, meningkat 90 peratus berbanding 2018.
Sementara itu, Pusat Kajian Geologi Riyadh mengenal pasti dua kawasan penerokaan lanjutan yang mempunyai anggaran sumber mineral keseluruhan sebanyak 644 juta tan. - Agensi