Jangan biarkan usia merampas senyuman

Iklan
Malaysia telah diiktiraf sebagai negara menua pada 2021 dan menjelang 2030, dijangka penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas akan meningkat. Gambar kecil: Dr Tun Yasmin Iffah

SELARAS dengan perubahan usia, mulut kita juga akan mengalami perubahan pada gigi, gusi, air liur, tisu lembut serta rahang yang mampu mempengaruhi kebolehan untuk bercakap, makan serta tersenyum.

Bayangkan seseorang itu tidak boleh menikmati juadah-juadah kegemaran, bukan kerana selera berkurangan, tetapi kerana giginya terasa ngilu, bergoyang, atau gigi palsunya semakin longgar.

Iklan
Iklan

Lama-kelamaan, perkara yang kelihatan kecil ini, boleh mempengaruhi kehidupan seseorang, bukan sahaja dari segi pemakanan, malah keyakinannya untuk bercakap, tersenyum dan ketawa.

Malaysia telah diiktiraf sebagai negara menua pada 2021 dan menjelang 2030, dijangka penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas akan meningkat.

Iklan

Masalah seperti kerosakan gigi, penyakit gusi dan kehilangan gigi sering berlaku dalam kalangan warga emas. Namun, banyak masalah ini boleh dicegah dengan penjagaan mulut yang baik dan pemeriksaan pergigian secara berkala.

Kesihatan mulut adalah boleh diibaratkan sebagai rumah yang telah lama didiami. Semakin hari selaras dengan pertambahan usia, mungkin ada sebahagian kawasan yang akan menjadi usang dan memerlukan perhatian.

Iklan

Namun, jika ia dijaga dengan baik, ia masih boleh kekal kukuh, selesa didiami dan boleh berfungsi dengan lebih lama. Begitu juga dengan keadaan gigi dan kesihatan mulut kita.

Perubahan pada permukaan gigi boleh terhasil melalui proses haus dan lusuh semulajadi, yang akan mengakibatkan rasa ngilu dan sensitif.

Namun, tidak semua orang akan mengalami rasa sensitif itu jika perubahan gigi di peringkat dalaman berlaku, di mana lapisan kedua gigi, iaitu lapisan dentin menebal akibat tindakbalas semulajadi terhadap ransangan luar, atau trauma.

Ini boleh dibayangkan seperti dinding yang tebal yang mampu menahan perubahan suhu, atau sebarang perubahan struktur yang berlaku. Keadaan ini kadangkala menyebabkan masalah seperti kerosakan gigi sukar dikesan pada peringkat awal.

Selain daripada itu, masalah gigi bergoyang yang tidak dapat diselamatkan, dan akhirnya perlu dicabut. Ini boleh diakibatkan oleh masalah gusi dan tulang rahang yang semakin nipis.

Apabila tulang rahang menipis dan memendek, ini boleh menyebabkan kekurangan dimensi menegak muka yang juga boleh menyebabkan ketidakselesaan pada rahang dan juga kurang keyakinan diri atas perubahan bentuk muka yang berlaku.

Air liur juga memainkan peranan yang penting bagi diri kita. Ia bukan sekadar untuk membasahkan mulut, malah ia juga digunakan untuk membantu membersihkan sisa makanan, melindungi gigi serta membantu untuk menelan makanan.

Mulut kering boleh berlaku akibat perubahan fungsi kelenjar air liur apabila usia meningkat. Penggunaan sesetengah ubat juga boleh mengurangkan penghasilan air liur.

Apabila air liur berkurangan, risiko kerosakan gigi dan jangkitan dalam mulut boleh meningkat. Ia juga boleh menyebabkan kesukaran bercakap dan menelan serta menyebabkan gigi palsu menjadi kurang selesa atau mudah longgar.

Perubahan akibat penuaan juga turut berlaku pada tisu lembut dalam mulut. Bahagian dalam pipi dan lidah boleh menjadi lebih nipis dan mudah mengalami kecederaan.

Sesetengah warga emas juga mungkin mengalami lidah bersalut atau perubahan warna pada lidah, terutama apabila penjagaan kebersihan mulut menjadi lebih sukar apabila kemahiran pergerakan tangan dan jari merosot yang menyebabkan kesukaran untuk memberus gigi dan lidah dengan lebih sempurna.

Namun, penuaan tidak bermakna kesihatan mulut akan merosot dan tidak dapat dielakkan. Bak kata pepatah, mencegah adalah lebih baik dari mengubati.

Amalan mudah yang boleh dilakukan setiap hari mampu mengekalkan senyuman yang menawan di kala usia meningkat. Setiap individu digalakkan untuk memberus gigi dua kali sehari menggunakan berus gigi berbulu lembut dengan ubat gigi mengandungi fluorida, membersihkan celah-celah gigi menggunakan berus yang sesuai, dan memastikan gigi palsu sentiasa bersih dan sesuai digunakan.

Pengambilan air yang mencukupi juga amatlah digalakkan dan mendapatkan nasihat doktor gigi jika mengalami masalah mulut kering.

Setiap individu juga digalakkan untuk menjalani pemeriksaan pergigian secara berkala, seeloknya setiap enam bulan, dan juga melaporkan sebarang perubahan kepada doktor gigi.

Dengan penjagaan kesihatan mulut yang baik, pemeriksaan pergigian secara berkala dan tindakan awal terhadap sebarang masalah, warga emas boleh terus menikmati senyuman yang sihat, selesa dan yakin.

* Dr Tun Yasmin Iffah ialah Pakar Pergigian Penjagaan Khas, Fakulti Pergigian, USIM