The Greater Kedah: Ekonomi mapan masa depan gemilang

Iklan
Gagasan "The Greater Kedah" menggariskan pendekatan pembangunan yang menghubungkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan strategik, pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat. Gambar kecil: Baharom

PERTUMBUHAN ekonomi sering dijadikan ukuran kejayaan pembangunan sesebuah negeri. Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kemasukan pelaburan dan pembangunan infrastruktur lazimnya menjadi petunjuk utama kemajuan ekonomi.

Namun, persoalan yang lebih utama ialah sejauh mana pencapaian tersebut mampu meningkatkan pendapatan rakyat, menyediakan pekerjaan berkualiti, memperkukuh daya saing industri tempatan dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan rakyat lebih sejahtera.

Iklan
Iklan

Perspektif inilah yang ingin diarusperdanakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menerusi ucapan bertajuk"The Greater Kedah: Empowering Lives" sempena SG4 Business & Economic Forum 2026.

Gagasan"The Greater Kedah" menggariskan pendekatan pembangunan yang menghubungkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan strategik, pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat, berpandukan Pelan Pembangunan Kedah 2035 serta Pelan Tindakan KEDAH2035.

Iklan

Dari perspektif ekonomi pembangunan, pendekatan ini membuka ruang kepada penelitian tentang bagaimana kekuatan ekonomi sedia ada dapat dimanfaatkan untuk membina struktur ekonomi negeri yang lebih produktif, berdaya saing dan mampan.

Transformasi struktur ekonomi Kedah

Iklan

Kedah semakin memperlihatkan kepelbagaian struktur ekonomi yang melangkaui identiti tradisionalnya sebagai negeri jelapang padi.

Berdasarkan angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dibentangkan dalam ucapan tersebut, KDNK Kedah pada 2025 berjumlah RM56.3 bilion, mencatatkan pertumbuhan 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan menyumbang 56 peratus kepada ekonomi negeri, diikuti sektor pembuatan sebanyak 30.1 peratus dan pertanian 10.5 peratus.

Komposisi ini memperlihatkan kepentingan membangunkan hubungan yang lebih erat antara sektor ekonomi. Pertumbuhan industri pembuatan, misalnya, berpotensi meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan logistik, kejuruteraan, penyelenggaraan dan pembekal tempatan.

Pada masa yang sama, sektor pertanian perlu diperkukuh melalui peningkatan produktiviti, pemprosesan bernilai tambah dan akses pasaran yang lebih luas supaya pengeluar tempatan memperoleh manfaat ekonomi yang lebih besar.

Transformasi struktur ekonomi yang berkesan bukan sekadar memperluas aktiviti pengeluaran, tetapi memastikan hubungan antara sektor dapat meningkatkan nilai tambah dan mengembangkan peluang ekonomi merentasi daerah serta komuniti.

Pelaburan sebagai pemangkin pembangunan industri

Antara perkara penting yang diketengahkan Sanusi ialah prestasi pelaburan Kedah yang pesat berkembang.

Berdasarkan angka rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kedah merekodkan RM27.8 bilion pelaburan diluluskan pada 2025, termasuk kira-kira RM24.6 bilion dalam sektor pembuatan.

Kedah turut dilaporkan menduduki kedudukan pertama antara negeri bagi pelaburan pembuatan yang diluluskan selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2024 dan 2025.

Walau bagaimanapun, seperti yang turut ditegaskan dalam ucapan tersebut, pelaburan yang diluluskan tidak semestinya menggambarkan pelaburan yang telah direalisasikan atau pekerjaan yang telah diwujudkan.

Kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan menterjemahkan kelulusan pelaburan kepada operasi industri, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan pengukuhan perusahaan domestik.

Dalam konteks ini, ekosistem perindustrian seperti Kulim Hi-Tech Park, kawasan perindustrian Kulim, Gurun dan Kedah Rubber City berpotensi memainkan peranan penting dalam memperluas rantaian nilai industri.

Keutamaan perlu diberikan kepada pembangunan pembekal tempatan, pemindahan teknologi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja supaya manfaat pelaburan dapat dikekalkan dalam ekonomi negeri.

Infrastruktur strategik memperkukuh daya saing

Transformasi ekonomi memerlukan pembangunan infrastruktur yang mampu menyokong pertumbuhan industri secara bersepadu.

Cadangan Kedah Aerotropolis yang merangkumi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Pelabuhan Jerlun, pembangunan hab tenaga di Pulau Bunting serta jaringan pengangkutan darat mencerminkan usaha memperkukuh hubungan antara pusat perindustrian, kemudahan logistik dan pasaran.

Muhammad Sanusi

Pada masa yang sama, cadangan pembangunan Zon Tenaga Boleh Baharu berkapasiti lima gigawatt memperlihatkan aspirasi Kedah untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan menarik pelaburan industri yang semakin memberikan perhatian kepada kemampanan.

Namun, pembangunan infrastruktur berskala besar perlu berasaskan penelitian daya maju komersial, kemampuan pembiayaan, keperluan sebenar industri dan perlindungan alam sekitar.

Keberkesanan infrastruktur tidak seharusnya dinilai berdasarkan skala projek semata-mata, tetapi melalui keupayaannya mengurangkan kos perniagaan, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan memperluas peluang ekonomi.

Pembangunan modal insan mencorak masa depan

Antara dimensi penting dalam gagasan The Greater Kedah ialah penegasan bahawa pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan pembangunan manusia.

Gagasan Cordoba of Kedah dan Al-Abqari Generation mengetengahkan aspirasi melahirkan generasi yang menguasai ilmu pengetahuan, teknologi dan kemahiran masa depan, di samping memiliki nilai etika serta tanggungjawab sosial.

Melalui Agenda Pembangunan Pendidikan Strategik 2026–2030, pendekatan ini memberikan perhatian kepada penyelarasan institusi pendidikan, pembiayaan pendidikan yang mampan dan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan industri.

Program Kedah Young Professional Programme (KYPP) pula dirangka untuk memberikan pendedahan awal kepada golongan muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik, kepimpinan dan persediaan kerjaya.

Menurut ucapan tersebut, program berkenaan menyasarkan penyertaan 1,000 pelajar berusia antara 15 hingga 17 tahun dari seluruh 12 daerah di Kedah, dengan 323 pelajar telah menyertai siri sulung pada 2026.

Dari perspektif pembangunan jangka panjang, pelaburan dalam pendidikan dan kemahiran merupakan prasyarat penting untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh inovasi dan membina mobiliti ekonomi generasi akan datang.

Menterjemahkan pertumbuhan kepada kesejahteraan

Kejayaan"The Greater Kedah" akhirnya perlu dinilai berdasarkan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat.

Pertumbuhan ekonomi dan pelaburan industri perlu diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, pengukuhan perusahaan tempatan dan peluang pembangunan yang merentasi daerah serta komuniti.

Pada masa yang sama, inisiatif kebajikan seperti Skim Perlindungan Mahasiswa Kedah atau"Kedah Siswa Care", serta penglibatan mahasiswa melalui program kesukarelawanan, memperlihatkan usaha menghubungkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial.

Namun, pencapaian aspirasi tersebut memerlukan tadbir urus yang berkesan, disiplin pelaksanaan, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta serta indikator prestasi yang jelas.

Secara keseluruhannya,"The Greater Kedah" mengetengahkan kerangka pembangunan yang menghubungkan kekuatan industri, pelaburan strategik, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Potensi sebenar gagasan ini bergantung kepada keupayaan menterjemahkan perancangan strategik kepada hasil ekonomi dan sosial yang berkekalan.

Akhirnya, masa depan Kedah bukan sekadar ditentukan oleh jumlah kekayaan yang berjaya dijana, tetapi sejauh mana kekayaan tersebut mampu membina masyarakat yang lebih berilmu, produktif, berdaya tahan dan sejahtera.

*Prof Dr Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di INCEIF University dan Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research