ZAMAN sekarang, siapa tidak suka barang murah? Kalau barang hampir sama dijual pada harga RM20 di kedai tetapi boleh dibeli dalam talian pada harga RM5, sudah tentu ramai memilih harga lebih rendah.
Bukan sebab kedekut atau tidak mahu menyokong peniaga tempatan, tetapi ketika kos sara hidup meningkat dan ramai semakin berkira-kira berbelanja, perbezaan RM5 atau RM10 pun cukup bermakna.
Itulah realiti apabila semakin banyak barangan murah dari China boleh dibeli terus oleh pengguna Malaysia menerusi platform e-dagang rentas sempadan dengan hanya beberapa sentuhan pada skrin telefon.
Bagaimana harganya boleh begitu murah? Antara sebabnya ialah cara barangan sampai kepada pembeli kerana lazimnya produk import perlu melalui beberapa lapisan sebelum akhirnya berada di tangan pengguna.
Ada pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit dengan setiap lapisan mempunyai kos termasuk sewa, gaji pekerja, penyimpanan stok serta penghantaran yang akhirnya dimasukkan ke dalam harga jualan.
Apabila pengguna boleh membeli lebih terus daripada penjual atau pengeluar di negara asal, sebahagian lapisan itu dapat dikurangkan, sekali gus membolehkan sesetengah barangan ditawarkan pada harga jauh lebih rendah.
Bagi pengguna, penjimatan itu tentunya berita baik. Jimat RM10 mungkin nampak kecil, tetapi wang tersebut boleh digunakan membeli telur, beras, susu anak atau mengisi petrol.
Namun, cerita barang murah mempunyai sisi lain apabila peniaga tempatan terpaksa berdepan penjual luar dengan skala pasaran lebih besar serta kemampuan menawarkan harga yang sukar untuk mereka tandingi.
Isu itu turut dibangkitkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keresahan peniaga tempatan terhadap kemasukan produk murah menerusi platform rentas sempadan seperti Temu dan Pinduoduo.
Ketika TikTok Shop Summit Malaysia 2026 pada 20 Ogos lalu, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan perlu mempunyai peraturan lebih ketat bagi mengekang atau menyekat kemasukan produk asing tanpa terkawal.
Sebab itu kawal selia memang diperlukan kerana barang murah tidak semestinya selamat terutama jika membabitkan barangan elektrik, kosmetik, makanan atau produk kesihatan yang boleh mendatangkan risiko kepada pengguna.
Memang pengguna mahu berjimat tetapi jangan kerana mahu menyimpan RM10, akhirnya terpaksa menanggung kerugian RM100 apabila produk dibeli rosak, berbahaya atau langsung tidak menepati apa yang diiklankan.
Namun dalam ghairah memperketat kawal selia, jangan pula pengguna menjadi mangsa sehingga akses kepada barangan lebih murah semakin terbatas.
Peniaga tempatan memang wajar dilindungi daripada persaingan tidak adil, tetapi pengguna juga berhak mendapat harga terbaik, sekali gus menuntut kerajaan mencari titik keseimbangan yang tidak merugikan mana-mana pihak.
Kalau produk dari luar berbahaya, tidak memenuhi piawaian atau penjualnya menipu, ambil tindakan tegas tetapi jika produk itu selamat dan mematuhi syarat, pengguna sepatutnya bebas membuat pilihan sendiri.
Peniaga tempatan juga perlu menerima hakikat bahawa persaingan sudah berubah kerana pesaing mereka bukan lagi sekadar kedai sebelah, sebaliknya mungkin penjual yang berada ribuan kilometer dari Malaysia.
Mereka mungkin sukar menandingi harga, tetapi masih mempunyai kelebihan daripada segi kepantasan, kualiti, jaminan dan khidmat selepas jualan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk terus memenangi hati pengguna.
Justeru, kemasukan barang murah dari China tidak semestinya perlu ditakuti jika persaingan itu akhirnya menjadikan harga lebih munasabah, meningkatkan kualiti dan memberikan pengguna lebih banyak pilihan ketika berbelanja.
Kerajaan perlu melindungi pengguna dan memastikan persaingan berlaku secara adil tetapi jangan sampai rakyat kehilangan pilihan kerana akhirnya persoalannya cukup mudah, kalau boleh dapat murah, kenapa perlu bayar mahal?
*Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian