MIHAS 2026 pacu eksport halal Malaysia menerusi digital, AI

Iklan
Idzham (kanan) ketika program Interviu X Podcast Sinar Harian bertajuk 'MIHAS ke-22: Mengapa Ia Penting Ketika Ini?' yang dihoskan Haizir di Kompleks Karangkraf. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Persaingan dalam pasaran halal global kini bukan lagi hanya bergantung kepada penghasilan produk berkualiti dan mempunyai pensijilan halal semata-mata, sebaliknya turut melibatkan keupayaan syarikat bertindak pantas, memanfaatkan teknologi digital serta memenuhi piawaian antarabangsa.

Pengarah Seksyen Halal, Makanan & Minuman dan Agro Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Idzham Abdul Hamid berkata, pasaran halal hari ini juga bergerak ke arah yang lebih digital, telus dan berasaskan data.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menyedari akan persaingan yang semakin kompleks itu, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 tahun 2026 yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 26 September ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) akan memberi tumpuan kepada aspek tersebut.

"Dalam persekitaran yang semakin kompetitif ini, persaingan bukan lagi sekadar menghasilkan produk halal yang berkualiti, tetapi juga bergantung kepada keupayaan syarikat untuk bertindak pantas, memanfaatkan teknologi digital, mematuhi piawaian antarabangsa dan menyesuaikan diri dengan kehendak pembeli global yang semakin canggih.

Iklan

"Pembeli antarabangsa bukan hanya melihat sijil halal, malah menilai ketelusan rantaian bekalan, kebolehkesanan produk, keupayaan digital, konsistensi penghantaran serta bukti pematuhan yang boleh disahkan dengan cepat.

"Syarikat perlu memperkukuh penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian (IR) 4.0, meningkatkan kesiapsiagaan terhadap risiko siber dan membangunkan sistem pengurusan data yang lebih bersepadu bagi memenuhi jangkaan pasaran global," katanya ketika program Interviu X Podcast Sinar Harian bertajuk 'MIHAS ke-22: Mengapa Ia Penting Ketika Ini?' yang dihoskan oleh Haizir Othman.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai MIHAS yang mula diperkenalkan sejak 2004 itu, Idzham berkata, pameran tersebut pada asalnya memfokuskan kepada beberapa sektor antaranya makanan dan minuman serta menyasarkan lebih kepada pengguna sebelum ia terus dikembangkan mengikut peredaran semasa.

Katanya, antara perubahan dilakukan ialah memulakan sesi padanan perniagaan sehinggalah menambah lagi sektor terbaharu antaranya farmaseutikal, kosmetik, selain mempunyai hampir 14 sektor di bawah produk dan perkhidmatan patuh syariah antaranya logistik dan kewangan Islam.

Perkenal ejen AI peribadi

Sejajar dengan dengan transformasi digital, MIHAS ke-22 turut mengangkat teknologi kecerdasan buatan (AI) dikenali MIHAS AI Apps yang memanfaatkan teknologi Agentic AI bagi meningkatkan pengalaman peserta secara menyeluruh.

Idzham berkata, pengenalan baharu itu berbeza dengan chatbot konvensional, di mana setiap peserta sama ada pembeli, pempamer atau pelawat akan diberikan seorang ejen AI peribadi yang memahami profil, objektif dan minat mereka sepanjang acara.

"Ejen AI ini bertindak sebagai pembantu digital yang proaktif untuk mencadangkan padanan perniagaan yang paling relevan, merancang jadual mesyuarat, mengesyorkan sesi Hab Pengetahuan yang sesuai, menjawab pertanyaan secara masa nyata serta memberikan peringatan dan cadangan tindakan berdasarkan aktiviti pengguna.

"Dengan pendekatan Agentic AI ini, setiap peserta menerima pengalaman lebih peribadi, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang perniagaan ditawarkan di MIHAS," ujarnya.

Beliau menambah, pameran edisi ke-22 kali ini juga memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti pengeksport melalui pelbagai inisiatif seperti Knowledge Hub, sesi perkongsian industri, risikan pasaran, taklimat pematuhan dan perundangan, aplikasi teknologi digital, e-dagang serta padanan perniagaan yang lebih strategik.

Sesi tersebut katanya, dikendalikan bersama pakar industri bagi membekalkan syarikat dengan pengetahuan, maklumat pasaran dan alat praktikal yang diperlukan untuk bersedia sebelum, semasa dan selepas rundingan perdagangan.

Ditanya mengenai bentuk cabaran yang sering menjadi halangan kepada syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa, Idzham berkata, salah satu faktornya ialah komunikasi bahasa.

Bagaimanapun katanya, melalui penggunaan aplikasi AI di MIHAS, pihaknya turut memperkenalkan sokongan dalam beberapa bahasa utama bagi membantu memudahkan pengunjung dan pempamer.

Idzham berkata, halal bukan lagi dilihat sebagai pensijilan semata-mata, tetapi sebagai simbol kualiti, keselamatan makanan, kebersihan, integriti dan amalan pengeluaran yang beretika.

Katanya, semakin ramai pengguna bukan Islam turut memilih produk halal kerana mereka mengaitkannya dengan standard yang lebih tinggi serta keyakinan terhadap kualiti produk.

"Mereka cenderung memilih produk yang rendah gula, bebas pengawet, menggunakan bahan semula jadi serta mempunyai maklumat yang telus mengenai sumber bahan, kaedah pemprosesan dan kebolehkesanan rantaian bekalan.

"Dalam dunia hari ini, kepercayaan pengguna tidak lagi dibina melalui logo halal semata-mata, tetapi melalui bukti yang boleh disahkan, ketelusan operasi dan kredibiliti jenama," jelasnya.

Sasar 45,000 pelawat

Dalam pada itu menjawab pertanyaan mengenai kejayaan MIHAS boleh diterjemahkan kepada manfaat yang lebih dekat dengan rakyat, Idzham berkata, ia dibuktikan dengan sektor halal Malaysia menyokong lebih 350,000 peluang pekerjaan di negara ini.

Menurutnya, rekod pencapaiannya membuktikan impak tersebut apabila sejak 2004, melalui International Sourcing Programme (INSP), MIHAS telah membantu lebih 10,600 syarikat Malaysia menjana lebih RM20.62 bilion jualan eksport menerusi 67,200 sesi padanan perniagaan yang melibatkan hampir 8,000 pembeli antarabangsa.

"Inilah sebabnya MIHAS bukan sekadar sebuah pameran perdagangan, tetapi platform strategik negara yang mempercepatkan pengantarabangsaan syarikat Malaysia, merangsang pertumbuhan PKS, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi halal serta pembangunan ekonomi Malaysia secara menyeluruh," katanya.

Tambahnya, bagi edisi kali ini pihaknya menyasarkan lebih 45,000 pelawat dan hampir 2,400 reruai akan mengambil bahagian dalam pameran berkenaan.

Idzham dalam masa sama turut mengajak syarikat yang belum pernah menyertai MIHAS atau meneroka pasaran eksport untuk memanfaatkan peluang berkenaan kerana ia memerlukan langkah sangat mudah.

Pertama katanya, syarikat perlu mendaftar dengan Matrade dan menjalani penilaian kesediaan eksport melalui Export Readiness Assessment Tool (ERAT).

"Penilaian ini membantu syarikat menilai tahap kesiapsiagaan mereka, mengenal pasti jurang yang perlu diperkukuhkan serta merangka strategi yang lebih tepat sebelum menembusi pasaran global.

"Ramai pengeksport Malaysia yang berjaya hari ini juga bermula sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Perbezaannya ialah mereka mengambil langkah pertama lebih awal, mendapatkan bimbingan yang betul dan belajar secara langsung daripada kehendak pasaran," tambah beliau.