Pemandu tersepit bas pekerja terbabas dalam longkang sedalam 10 kaki

Iklan
Pemandu bas yang tersepit berjaya dibawa keluar dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Foto JBPM

BAYAN LEPAS – Seorang pemandu bas pekerja berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang sedalam 10 kaki di Bulatan Bayan Baru, berhampiran Krystal Point, Jalan Tun Dr Awang pada petang Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 49 tahun cedera selepas diapit struktur bas yang rosak akibat rempuhan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sepasukan sembilan anggota bersama logistik dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai dan tiba 10 minit kemudian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, anggota mendapati sebuah bas pekerja telah terbabas ke dalam longkang.

Iklan

"Komander operasi segera membuat penilai situasi (size up) bagi melancarkan proses penyelamatan. Ketika kejadian, tiada penumpang dalam bas berkenaan.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE) penuh kemudiannya menjalankan kerja-kerja memotong dan merenggangkan bahagian yang tersepit bagi mengeluarkan mangsa," ujarnya.

Iklan

Tambah beliau, mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat pada jam 6.29 petang.

"Pemandu terbabit diserahkan kepada pihak Community Ambulance Sungai Ara untuk rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.

"Operasi penyelamatan yang turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jentera FRT serta EMRS BBP Bayan Baru itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.37 petang," katanya lagi.