Polis musnahkan kotak misteri disyaki ada radiasi tinggi di Sri Petaling

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan keadaan di lokasi kejadian pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) memusnahkan sebuah kotak plastik mencurigakan yang ditemui di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling di sini pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan objek berkenaan pada jam 12.57 tengah hari daripada seorang wanita berusia 33 tahun.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati objek tersebut dikesan mempunyai bacaan radiasi yang agak tinggi ketika pemeriksaan dilakukan di kawasan berkenaan.

"UPB Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Unit CBRE (Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan) Bukit Aman serta Agensi Nuklear Malaysia hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Fadil berkata, UPB kemudiannya menggunakan Recoilless Disruptor 5.0 bagi memusnahkan objek tersebut.

"Hasil tindakan itu mendapati terdapat beberapa kotak disyaki mengandungi barangan berbentuk blok binaan berwarna-warni di dalam kotak berkenaan yang telah berjaya dimusnahkan.

Iklan

"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Tenaga Atom mengesahkan tiada bacaan radioaktif dikesan di lokasi kejadian," katanya.

Fadil berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan kes masih dalam siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran serta ancaman kepada keselamatan awam.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh menyalurkannya kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.