PUTRAJAYA – Persepsi masyarakat, kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), kandungan deepfake dan penyebaran maklumat palsu dikenal pasti sebagai antara cabaran utama yang dihadapi semua organisasi, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, cabaran persepsi merupakan antara isu paling kritikal yang bukan sahaja dihadapi SPRM, malah turut memberi kesan kepada organisasi kerajaan dan swasta.
Menurut beliau, persepsi terbahagi kepada dua bentuk iaitu positif dan negatif.
“Kita menyokong serta menghargai persepsi yang positif. Namun, persepsi negatif perlu ditangani dengan baik dan berhemah.
“Persepsi terbentuk daripada pelbagai faktor, khususnya perkembangan teknologi dan media sosial yang membolehkan masyarakat menerima maklumat dengan pantas dan mudah. Sebab itu kebijaksanaan serta pertimbangan pembaca sangat penting untuk memastikan maklumat yang diterima datang daripada sumber yang sahih,” katanya dalam program Zoom In bertajuk Fakta vs Persepsi pada Isnin.
Beliau berkata, SPRM merupakan antara agensi yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat dan media, sekali gus terdedah kepada pelbagai persepsi serta tafsiran.
Katanya, bagi menangani isu tersebut, SPRM secara konsisten berkongsi maklumat terkini dengan pihak media selain mengadakan sidang akhbar secara berkala.
“Pengurusan tertinggi SPRM sering tampil berkongsi perkembangan sesuatu kes bagi memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang sahih serta melihat ketelusan yang diamalkan oleh suruhanjaya ini.
“Namun, bukan semua fakta boleh didedahkan secara terbuka kerana kami masih tertakluk kepada keperluan kerahsiaan serta tanggungjawab menjaga maruah individu yang sedang disiasat,” katanya.
Menurut Hisyam, SPRM sentiasa berusaha memperbetulkan sebarang persepsi yang tidak tepat secepat mungkin, namun keberkesanannya turut bergantung kepada cara masyarakat menilai sumber maklumat yang diterima.
Beliau berkata, kecenderungan individu, tahap rasionaliti, tabiat membaca tanpa memahami konteks sepenuhnya, serta pengaruh pempengaruh media sosial dan ideologi politik turut mempengaruhi penyebaran sesuatu naratif.
“Di SPRM, kami memastikan penyaluran maklumat dilakukan menerusi perkongsian fakta yang sahih, tepat dan boleh dipercayai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa masyarakat perlu menilai sesuatu maklumat daripada pelbagai sumber sebelum membuat kesimpulan.
“Sebagaimana SPRM menjalankan siasatan, setiap maklumat yang diterima akan dianalisis dan disahkan terlebih dahulu sebelum ditentukan sama ada ia mempunyai asas untuk diteruskan kepada siasatan lanjut,” ujarnya.