Lelaki sesat selepas daki Gunung Kinabalu tanpa permit berdepan tindakan

Iklan
Lelaki warga Croatia yang diselamatkan pasukan penyelamat di Gunung Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pendaki warga Croatia yang sesat selepas dipercayai mendaki Gunung Kinabalu tanpa permit rasmi berdepan tindakan termasuk kemungkinan dikenakan denda.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, bagaimanapun sebarang tindakan terhadap pendaki terbabit hanya akan dipertimbangkan selepas lelaki itu selesai menerima rawatan.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, saya difahamkan pihak Taman-Taman Sabah (TTS) telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

"Pendaki berkenaan masih dalam rawatan, jadi pihak polis dan TTS sedang menjalankan siasatan serta meneliti tindakan yang boleh diambil," katanya ketika ditanya mengenai tindakan susulan terhadap pelancong warga Croatia terbabit yang dipercayai mendaki Gunung Kinabalu tanpa permit rasmi.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini pada Isnin.

Menurut Jafry, pihaknya akan memberi ruang kepada pendaki berkenaan untuk menjalani rawatan terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.

Iklan

"Ini juga sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan laluan tidak rasmi untuk mendaki kerana ia membabitkan aspek keselamatan seperti yang berlaku dalam kejadian ini," katanya.

Jafry berkata, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan dan pendaki tidak seharusnya menggunakan laluan tidak rasmi ketika melakukan pendakian di Gunung Kinabalu.

Beliau berkata, tindakan yang bakal diambil juga penting sebagai peringatan kepada pendaki lain, termasuk pelancong asing, supaya mematuhi peraturan dan prosedur pendakian yang ditetapkan.

Sebelum itu, lelaki Croatia, Mauro Persic, 46, dilaporkan tersesat ketika mendaki Gunung Kinabalu dan ditemui selepas lapan hari bersendirian dalam keadaan cedera oleh pasukan penyelamat dan porter.