Pegawai SPRM nafi Azman Yusoff dapat layanan istimewa dalam siasatan Jana Wibawa

Iklan
Muhyiddin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bagi prosiding kes berkaitan Jana Wibawa.

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat kes Jana Wibawa menafikan bahawa Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff menerima layanan istimewa sepanjang siasatan dijalankan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mazery Mohd Zaini, 42, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan membabitkan empat pertuduhan salah guna kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan RM200 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan
Iklan

Mazery yang juga saksi pendakwaan ke-29 tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat “perjanjian” dengan Azman supaya ahli perniagaan itu menjadi saksi dalam perbicaraan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Siasatan B, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bersetuju bahawa Azman tidak dikenakan tahanan reman sepanjang siasatan dijalankan.

Iklan

Menjawab soalan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin, Mazery turut menafikan siasatan dijalankan secara berat sebelah atau bahawa Azman diberikan sebarang bentuk perlindungan imuniti.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah dimaklumkan bahawa Azman pada asalnya merupakan suspek dalam kes tersebut sebelum dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-27.

Iklan

Dalam pada itu, Mazery turut disoal mengenai bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Beliau berkata, beliau mengenali Adam Radlan, namun tidak terlibat dalam siasatan terhadap ahli politik tersebut.

Dalam sesi pemeriksaan balas, peguam pembelaan membandingkan situasi melibatkan Adam Radlan dan Azman.

Peguam: Adakah menjadi sesuatu yang pelik apabila Adam Radlan didakwa di mahkamah kerana menerima RM2 juta, sedangkan Azman tidak dituduh menerima RM1 juta?

Mazery: Tidak setuju.

Peguam: Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-21, ahli perniagaan Lian Tian Chuan atau TC Lian, terdapat satu kes prima facie menunjukkan Azman meminta dan menerima rasuah. Setuju?

Mazery: Tidak setuju.

Peguam: Adakah anda menyiasat Azman selepas kes Jana Wibawa?

Mazery: Tidak.

Peguam: Kes terhadapnya telah ditutup?

Mazery: Tidak pasti.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai pegawai badan awam, iaitu ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta.

Suapan tersebut didakwa diperoleh daripada Azman serta empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering bagi manfaat parti berkenaan.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang antaranya dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung pada Selasa.